Seorang jururawat wanita di United Kingdom (UK) telah dihukum penjara seumur hidup atas tuduhan membunuh tujuh bayi baru lahir dan percubaan melakukan perbuatan serupa terhadap enam bayi lain semasa mereka berada di bawah penjagaannya.
Dengan pertuduhan itu, Lucy Letby, 33 menjadi pembunuh kanak-kanak bersiri paling prolifik di United Kingdom kerana membunuh lima bayi lelaki dan dua bayi perempuan.
Dia telah ditahan berhubung beberapa kematian bayi di unit rawatan neonatal (NICU) Hospital Countess of Chester di barat laut England antara Jun 2015 dan Jun 2016.
Pihak pendakwaan mengatakan Letby menyerang mangsa iaitu bayi pramatang pada syif malam, sama ada menyuntik bayi itu dengan udara, susu berlebihan atau meracuni dengan insulin.
Letby berada di kandang tertuduh ketika juri menjatuhkan hukuman pertama pada awal Ogos lalu namun pada hari keputusan akhir tertuduh enggan keluar dari selnya.
“Kamu bertindak dengan cara yang benar-benar bertentangan dengan naluri manusia biasa ketika mengasuh dan menjaga bayi,” kata hakim James Goss, merujuk kepada Letby semasa ketiadaannya.
“Kamu tidak menyesal. Tiada pengurangan. Tahap kesalahan kamu sangat tinggi, saya mengarahkan peruntukan pelepasan awal, tidak terpakai.
“Oleh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hayat bagi setiap kesalahan dan kamu akan menghabiskan sepanjang hayat kamu di penjara,” kata Goss yang memerintahkan Letby diberi salinan bertulis kenyataan hukuman dan kenyataan impak keluarga mangsa.
Setelah Letby enggan menghadiri prosiding untuk menentukan hukuman, Perdana Menteri UK, Rishi Sunak, menggambarkannya sebagai pengecut kerana tidak bersedia berhadapan dengan mangsa.