Apa yang Perdana Menteri Anwar Ibrahim buat sampai makin ramai pemimpin negara maju datang ke Malaysia ni? Jarang kita dengar cerita – cerita macam ni sebelum ini.
Hari ini Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon diberikan sambutan rasmi di Putrajaya sempena dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia.
Luxon yang tiba di Malaysia semalam untuk kunjungan sulung beliau ke negara ini sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November lalu, disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejurus tiba jam 9.30 pagi sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Beliau kemudian memeriksa kawalan kehormatan utama terdiri tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang diketuai Mejar Khairul Fakhzan Zainol Abidin.
Turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; menteri-menteri Kabinet, diplomat asing dan pegawai kanan kerajaan.
Luxon dan Anwar kemudian mengadakan pertemuan dua hala untuk membincangkan hal berkaitan hubungan Malaysia dan New Zealand serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan isu berkaitan hubungan dan kerjasama dua hala di bawah Perkongsian Strategik Malaysia-New Zealand yang dimeterai pada 2023, merangkumi empat tonggak, Kemakmuran, Rakyat, Planet serta Keamanan dan Keselamatan.
Usai pertemuan dua hala, kedua-dua pemimpin dijangka mengadakan sidang media bersama dan satu kenyataan bersama akan dikeluarkan selepas itu.
Wisma Putra memaklumkan Anwar seterusnya akan meraikan Luxon dan delegasinya pada majlis makan tengah hari di Kompleks Seri Perdana, hari ini.
Pada 2023, New Zealand rakan dagangan ke-28 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-22 dan sumber import ke-27 terbesar dalam kalangan negara di rantau Oceania. Jumlah perdagangan antara Malaysia dan New Zealand adalah RM11.56 bilion (AS$2.54 bilion).
baca: Anak Tun M didakwa enggan isytihar harta, terkejut tahu amaran keras SPRM