Golongan LGBT bimbang disalahkan, sanggup beratur panjang untuk Vaksin Cacar Monyet

  • Post author:

Golongan LGBT bimbang disalahkan, sanggup beratur panjang untuk Vaksin Cacar Monyet. Majoriti jangkitan cacar monyet melibatkan mereka yang berumur 21 hingga 40 tahun, dengan 99% daripadanya lelaki, kebanyakannya pernah melakukan hubungan homoseksual.

Lelaki berumur 20 hingga 40 tahun berbaris panjang kelmarin untuk mendapatkan vaksin cacar monyet di New York yang menjadi lubuk wabak berkenaan di Amerika Syarikat (AS).

Serbu seperti vaksin Covid-19

Situasi sebuah sekolah tinggi di Bushwick, Brooklyn yang diserbu orang ramai tidak ubah seperti pusat vaksinasi Covid-19.

Rata-rata penduduk yang hadir memberitahu agensi berita AFP bahawa mereka bernasib baik kerana berjaya mendapatkan temu janji berikutan kekurangan bekalan vaksin cacar monyet di New York.

Slot habis dalam masa 7 minit, 9,200 temu janji

Sebanyak 9,200 temu janji boleh ditempah oleh orang ramai menerusi laman web pentadbiran New York setakat pukul 6 petang Jumaat lalu.

Semua slot tersebut habis ditempah dalam masa tujuh minit sahaja.

“Ia sungguh mengecewakan terutamanya semasa Covid begitu banyak vaksin disediakan dan proses pelalian juga teratur,” kata penduduk tempatan, Aidan Baglivo, 23, kepada agensi berita AFP

Bandar raya yang didiami lebih 8 juta penduduk itu menyaksikan jangkitan cacar monyet melonjak minggu lalu dengan 461 kes direkodkan sejak wabak di AS bermula Mei lepas. Angka itu meningkat daripada 223 kes pada Isnin lalu.

Vaksin Jynneos terhad kepada golongan gay

Sesiapa sahaja boleh dijangkiti cacar monyet yang berjangkit menerusi sentuhan fizikal. Bagaimanapun, vaksin Jynneos yang diberikan kepada penduduk New York itu terhad kepada lelaki homoseks.

Ia berikutan golongan itu merangkumi kebanyakan pesakit cacar monyet ketika ini.

Ramai individu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bimbang bahawa komuniti mereka akan terus dikecam disebabkan virus cacar monyet.

Bandar raya New York telah memberikan atau menjadualkan sejumlah 21,500 dos vaksin cacar monyet setakat ini dan berharap proses vaksinasi dapat disegerakan dengan lebih 30,000 dos dijanjikan untuk seluruh negeri New York. – Agensi

Baca Juga: Asrama lelaki terbakar, 103 pelajar dan warden sempat larikan diri

Baca Juga: Generasi inikah yang Mat Kilau perjuangkan dulu? Pengacara ini kritik ‘content creator’