Guna sumbangan RM116,736 untuk jalani pembedahan, leher remaja tidak lagi berpusing 90 darjah

Guna sumbangan RM116,736 untuk jalani pembedahan, leher remaja tidak lagi berpusing 90 darjah. Remaja perempuan itu sudah menghabiskan masa kecilnya dan remaja dengan keadaan yang tidak menyenangkan itu. Afsheen Gul yang menghidap palsi serebrum turut menghidap penyakit jarang ditemui iaitu lehernya bengkok dan pada kedudukan 90 darjah.

Ibu bapanya menyangka keadaannya akan menjadi lebih baik, tetapi ia berterusan dan  tanpa wang tunai untuk rawatan perubatan, mereka cuba merawatnya, tetapi tidak berjaya lapor Mirror UK.

Ibu dan abang bantu kehidupan seharian

Ibunya Jameelan, 52, dan abang Mohammad Yaqoob Kumbar, 27, melakukan segala-galanya untuk membantu Afsheen daripada memakaikan remaja itu dengan pakaian, memberinya makan hingga untuk ke tandas.

Tetapi mereka bergelut untuk hidup kerana hanya bergantung kepada gaji Jameelan iaitu 6,000 rupee (kira-kira RM334.57) setahun sebagai tukang cuci.

Pakar bedah tulang belakang Dr Rajagopalan Krishnan dari Hospital Apollo, di Delhi, kemudian mendiagnosis Afsheen dengan Atlanto-axial rotatory dislocation (AARD) iaitu ketidakstabilan putaran tulang belakang serviks.

Pasukan perubatan pada mulanya memberi Afsheen tidak lebih daripada 50 peratus peluang untuk bertahan dalam prosedur itu.

Dapat sumbangan daripada orang ramai untuk jalani pembedahan

Sumbangan orang ramai dari seluruh dunia melebihi 26,000 euro (RM116,736) kemudian diterima untuk remaja terbabit menjalani pembedahan berkenaan.

Dr Rajagopalan yang bekerja untuk Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) di United Kingdom selama 15 tahun sebelum kembali ke India akhirnya bertemu dengan Afsheen tahun lalu.

Doktor beri perkhidmatan secara percuma

Selepas berbual dengan keluarga remaja itu, dia memutuskan untuk memberikan perkhidmatannya secara percuma.

“Selepas bertemu dengannya, jelas kemungkinan (remaja) akan mati dalam jangka pendek atau sederhana jika tidak dirawat.

“Ujian menunjukkan ia adalah salah satu kes paling mencabar yang pernah saya lihat dalam kerjaya saya, kemungkinan besar kes pertama seperti ini di dunia,” katanya.

Afsheen dilaporkan selamat menjalani pembedahan itu pada Mac lalu di Hospital Apollo di Delhi.

Empat bulan kemudian, remaja itu sudah berjalan dengan perkembangannya setiap seminggu dipantau Dr Rajagopalan menerusi Skype.

Baca Juga: Kanak-kanak OKU termakan dadah sudah pulih selepas sebulan dirawat

Baca Juga: ‘Tak ada sebab harga minyak tidak boleh turun’