Guru dedah isu beg berat pelajar sekolah “diburu” KPM

Cikgu Fadli Salleh yang menggemparkan dunia pendidikan negara baru-baru ini dengan pendedahan beraninya membabitkan isu beg berat yang dialami pelajar sekolah mengaku telah menerima notis mengadap oleh KPM, Selasa lepas.

Menurut perkongsiannya di dalam FB menggunakan nama Mohd Fadli Salleh, dia menaikkan tangkap layar emel yang diterimanya daripada KPM memaklumkan dipanggil ke satu sesi temu bual dengan Unit Integriti KPM pada hari Khamis, 2 Disember di bangunan KPM, Putrajaya.

Sesi temu bual itu dipercayai berkaitan dengan siri pendedahan yang dibuatnya menyentuh isu beg berat pelajar sekolah terutamanya pelajar sekolah rendah bermula Ahad lepas.

Pendedahannya mendapat respon mengejutkan daripada netizen yang turut sama berkongsi masalah yang sama dialami anak-anak mereka.

Malah dia juga bertekad menggunakan saluran undang-undang sekiranya didapati wujud unsur-unsur penyalahgunaan kuasa, tidak diberi keadilan dan dizalimi dalam sesi temu bual itu nanti.

Namun, menerusi hantaran terkini FBnya sebentar tadi menceritakan sebaliknya. Sebelum sesi temu bual yang dijadualkan diadakan di KPM, dia terlebih dahulu didatangi 2 orang Nazir JPN telah di sekolahnya bagi mendapatkan penjelasan awal berkaitan isu yang dibangkitkan.

Alhamdulillah. Selesai sesi bersama dua orang nazir tadi.

MasyaAllah, sangat peramah, santun dan tertib mereka. Sangat friendly. Langsung tak ada menekan, tak ada marah-marah, tak ada ugutan ke apa.

Seronok sesi tadi. Macam borak kedai kopi. Mereka beri kebebasan pada aku untuk luah segalanya. Lega dapat luah semua yang terbuku di dada.

Ada beberapa teguran diberi. Teguran yang membina. Dan aku akui teguran mereka betul, dan aku akui aku lakukan kesilapan itu. Mohon maaf dengan ikhlas, tulis semua rasa hati dalam borang yang disediakan, dan kami berpisah.

Sebelum berpisah mereka buka facemask dan berkata,

“Cikgu. Cam muka kami ya. Nanti jumpa mana-mana, tegur dan kita mengeteh bersama”.

Alhamdulillah. Syukur Ya Tuhan. Banyak urusan dipermudahkan. Dapat bimbingan yang baik-baik. Mana yang aku salah, aku mohon maaf pada semua ya.

Terutamanya ada perkataan kasar yang aku sebut dalam LIVE atau tulisan FB, perkataan mengguris hati dan tidak sesuai.

Itu semua kelemahan aku dan kesilapan aku. InsyaAllah, lepas ni sesi LIVE atau tulisan akan lebih harmoni agar luahan dan realiti yang didedahkan tidak mengguris hati.

Terima kasih atas semua sokongan kawan-kawan. Semoga ada sinar baru dalam dunia pendidikan agar sekolah kembali menjadi tempat yang seronok untuk anak-anak dan guru-guru.

Agar pendidikan negara kita terus gemilang dan maju jaya. Agar generasi akan datang muncul menjadi generasi yang memacu perubahan ke arah kebaikan.

Salam perjuangan.

#MFS

Dalam pada itu. Cikgu Fadli berharap sekolah menjadi tempat yang menyeronokkan bagi pelajar dan juga guru. Disamping itu, dia juga memohin pertimbangan KPM agar tidak memberi tekanan kepada para guru yang bernada vokal terhadap dasar pendidikan negara demi mewujudkan suasana harmoni dan gembira terus wujud disekolah.