Guru mengaji hadapi 17 pertuduhan rogol dan amang seksual terhadap dua beradik 7 tahun lalu mengaku tidak bersalah

Guru mengaji hadapi 17 pertuduhan rogol dan amang seksual terhadap dua beradik 7 tahun lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Butterworth.

Memetik Kosmo, tertuduh yang berusia 74 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Noor Aini Yusof dan Norhayati Mohd. Yunus.

Enam pertuduhan terhadap si adik

Mengikut enam pertuduhan di hadapan Hakim Noor Aini, tertuduh didakwa merogol seorang kanak-kanak yang ketika itu berusia tujuh tahun di sini di antara 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2020.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376(1)(e) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Warga emas itu turut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sebelas pertuduhan terhadap si kakak

Sementara itu, bagi 11 lagi pertuduhan di hadapan hakim Norhayati, tertuduh didakwa merogol dan melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak berusia lima tahun yang juga kakak kepada mangsa pertama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di lokasi sama di antara 1 Januari 2014 sehingga Mac 2021.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376(1)(e) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aisyah Al Humayrah Kamarulzaman dan Muhamad Syeqal Che Murat.

Aisyah Al Humayrah dan Muhamad Syeqal memohon mahkamah supaya tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.

Baca Juga: Kejam! Wanita dan anak usia 6 tahun jadi mangsa rogol berkumpulan

Baca Juga: Kes ibu dipenjara: Peguam Syarie pertahankan Islam tidak pernah zalim