Seorang wanita tidak pernah menyangka, sikap mentua yang sangat gemar mengadu domba boleh menjejaskan hubungan keluarga dengan begitu mudah.
Tiada angin tiada ribut, telah berlaku satu salah faham di hari Aidilfitri yang mulia dipercayai berpunca dari ‘mulut’ ibu mentua kepada wanita dikenali sebagai Bunga itu.
Sudah tidak mampu memendam rasa, berikut adalah perkongsian Bunga tentang insiden yang meninggalkan kesan ’terpaling’ mendalam di lubuk sanubarinya itu.
“Untuk pertama kali, aku terpaksa menulis sebab kepala ini sudah berdenyut-denyut akibat asyik terkenangkan apa yang jadi masa raya baru-baru ini. Perkara ini berlaku kepada aku, suami dan anak kami yang berusia satu tahun. Aku sedar, diri ini bukan menantu pilihan mak mentua sejak di awal perkahwinan.
“Ketika itu inai masih merah di jari aku. Mak mentua meminta aku memuat naik video perkahwinan kami. Tak sampai satu jam selepas itu, dia suruh aku padam. Waktu itu, Tuhan sahajalah yang tahu perasaan aku ini. Tetapi aku perasan, mak mertua suka lebihkan anak kedua iaitu Zack (bukan nama sebenar) dan isterinya.
“Semua pendapat atau apa sahaja yang mereka lakukan, mak mentua akan sokong dan menganggapnya satu tindakan betul. Nak dijadikan cerita, pada hari raya kelima ada satu kejadian berlaku. Kami masa itu baru pulang balik kampung beraya di Kuala Kangsar. Mulanya, semua mahu bergerak balik ke rumah masing-masing.
“Tiba-tiba, suami ajak berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Sungai Perak. Aku bersetuju sebab nak solat Jamak Takdim di situ. Apabila sudah sampai, suami kata keluarga mentua juga ada dekat sini dan ajak jumpa mereka dahulu. Waktu itu, suami turun sebelum aku sebab kasihan dekat anak dengan cuaca panasnya.
“Tidak lama kemudian, aku dan anak turunlah juga dan nampaklah mereka duduk di pondok gazebo. Tiba-tiba ipar aku si Zack ini bersuara. Dia mula kata aku dan suami macam-macam. Katanya suka buat hal masing-masing. Padahal biasa sahaja. Kalau sudah kahwin dan anak tengah membesar, memang banyak urusan sendiri.
“Tak akanlah kami ini nak menghadap muka Zack sahaja. Ingat, dia nak cakap pasal satu perkara sahaja. Sekali macam-macam dia kritik. Nama panggilan harian suami yang aku sebut pun dia persoalkan. Jadi tak senang dan bertambah-tambah geram apabila dia berani mengata mengenai keluarga.
“Seriuslah dengan cuaca panas jam 1.30 petang ini, boleh pula bercakap seperti itu. Memang mencabar akulah. Anak sudah berpeluh-peluh meronta sebab panas, aku mulalah rasa nak naik angin. Tak cukup dengan Zack, isteri dia iaitu Nana nak juga menyelit sama untuk bercakap apa yang tak puas hati.
“Aku sudahlah menyampah dengan Nana ini. Kaki menyuruh orang sahaja kerjanya. Bengang sangatlah itu sebab semasa hari raya itu, aku pulaukan sahaja suruhan dia. Adoi, tak faham-faham. Kalau orang buat tak tahu, maksudnya tak sukalah. Si Zack pula kata, aku kononnya tak hormat sedara mara dia.
“Katanya baru sampai, sudah pergi ke sana sini. Masalahnya, tempat yang mereka ajak lepak untuk minum itu panas. Dengan cuaca pukul 11 pagi itu faham-fahamlah macam mana. Anak aku sudah meragam sampai berkali-kali kepalanya dibasahkan. Akhirnya aku meletup dengan air mata sekali sebab tak tahan rasa tertekan.
“Kami berbalah dengan kata-kata. Biasalah Zack dengan cara askarnya, tak mahu mengalah. Apabila keluar dari mulut Zack mengenai mak mentua yang kononnya memendam itu ini, aku sudah boleh agak. Semua ini pasti berlaku sebab mak mentua aku yang mengadu dahulu. Kadang-kadang aku kasihan dengan mak mentua.
“Tetapi geram juga dengan dia. Suka bercerita mengenai anak pertama dan kedua kepada yang bongsu. Cerita pasal menantu A dekat menantu B. Tak terfikir ke yang perbuatan dia itu akan menimbulkan pergaduhan antara adik-beradik. Jujur, mungkin mak mentua tak puas hati sebab kami jarang balik.
“Masalahnya kami sekarang PJJ (Perhubungan Jarak Jauh). Suami tinggal dengan mak mentua. Aku dan anak pula tinggal dengan mak aku. Tak akan suami nak ulang alik semata-mata nak ambil aku. Tetapi tidaklah sampai hari raya sahaja baru balik. Selang sebulan dua macam itu sahaja.
“Mak mentua kira boleh bersyukurlah sebab anaknya duduk sekali. Itulah kisah sedih aku untuk raya tahun ini. Berpanas tanpa sebab yang munasabah, semata-mata nak puaskan hati Zack dan isterinya. Apalah nasib aku. Dapat si ipar terpaling meminta untuk dihormati. Isterinya suka menyuruh. Mak mentua pula terpaling kuat mengadu.
“Ini sekadar luahan, ada lagi sebenarnya yang terpendam. Tetapi aku tanam sahaja di lubuk sanubari. Terima kash yang sudi baca.” Kongsi Bunga Merah Jambu (Bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran di forum luahan hati di atas talian.
Baca juga: Scam cara baru, hanya inform nama di ruangan ‘live’ untuk cek diri ada pendamping atau tidak