Hadiah Rm100 Juta : “Saya hanya mohon hak sebagai bekas PM” – Najib

berita dipetik dari FMT

Najib Razak menafikan beliau meminta “hadiah” daripada kerajaan bernilai RM100 juta, sebaliknya hanya memohon diberikan kediaman mengikut Akta Ahli Parlimen Saraan 1980 pindaan 2003, sejajar statusnya sebagai bekas Perdana Menteri.

Katanya, semua bekas Perdana Menteri layak diberi kediaman seperti mana diperuntukkan dalam akta berkenaan.

Najib berkata, pejabatnya hanya memohon diberi kediaman selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14), seperti diperuntukan dalam akta yang didakwa dipinda ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ke-4.

“Dia (Mahathir) sendiri yang pinda akta semasa dia PM4. Office (Pejabat) saya cuma mohon diberi kediaman selepas PRU14 seperti dalam akta dipinda dia.

“Kerajaan beri tiga bidang tanah kerajaan untuk pilih, maka saya pilih satu,” katanya di Facebook.

Najib berkata, beliau memilih tanah kerajaan berdekatan Dewan Bahasa dan Pustaka selepas berbincang dengan ahli keluarganya.

“Tanah kerajaan dekat Dewan Bahasa dan Pustaka sebab keluarga saya rasa lokasi itu paling sesuai bagi mereka. Bukan sudah diluluskan kerajaan hari ini pun,” katanya.

Katanya, nilai RM100 juta itu diberikan sebuah portal pro Perikatan Nasional (PN).

“…cerita dikeluarkan sempena PRN (pilihan raya negeri) Melaka walaupun permohonan saya dibuat pada tahun 2018 selepas PRU14. Bukan kita tak tahu kenapa,” katanya.

Katanya, pejabat bekas Perdana Menteri bagi dirinya hanya satu banglo disewa di Bukit Pantai.

“Bukan kompleks besar macam perdana leadership foundation Mahathir. Anak-anak saya pun bukan ‘billionaire’ macam anak-anak dia. Lalu, dia tanya apa jasa saya sebagai PM?” katanya.

Dalam kenyataan itu, Najib juga menyenaraikan 10 jasa besarnya ketika menjadi Perdana Menteri.

Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengesahkan penerimaan permohonan oleh Najib untuk mendapatkan rumah bernilai RM100 juta dan akan dimasukkan dalam bajet tambahan jika dana mencukupi.

Kenyataan itu menyebabkan perang mulut di Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen pembangkang yang tidak berpuas hati dengan pertimbangan kerajaan bagi permohonan berkenaan.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul berkata permohonan itu dibuat selepas Bajet 2022 dibentangkan.

“Jika terdapat sebarang dana tambahan, ia akan ditambah bawah peruntukan tambahan,” katanya.

sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/11/18/kediaman-rm100-juta-bukan-hadiah-tapi-hak-kata-najib/