Watak kartun terkenal, Mickey Mouse dalam versi awal animasinya oleh Disney kini telah masuk ke dalam domain awam sejak 1 Januari lalu kerana hak ciptanya telah tamat mengikut undang-undang Amerika Syarikat (AS).
Hak cipta bagi versi awal watak itu tamat setelah 95 tahun, sejajar dengan undang-undang hak cipta di Amerika Syarikat (AS).
Watak ikonik itu memulakan kehidupannya sebagai bintang dalam ‘Steamboat Willie’, kartun pendek yang dikeluarkan pada tahun 1928.
Dicipta oleh ilustrator dan usahawan Walt Disney, Mickey Mouse adalah simbol kekal bagi jenama berbillion dolar tersebut.
Selama 90 tahun lalu, Mickey Mouse menghiasi taman tema serta beberapa peralatan seperti alat tulis, baju dan juga aksesori lain.
Watak Mickey Mouse telah “berlakon” atau “tampil” dalam ratusan filem, permainan video, dan rancangan televisyen, antara yang terkenal adalah Fantasia dan Get a Horse.
Versi moden watak tersebut masih sepenuhnya dilindungi oleh undang-undang hak cipta di Amerika Syarikat.