Hamzah, Azmin salah guna isu Kampung Sri Makmur demi rebut jawatan parti – SetPol MB

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, A Rahim Ahmad Kasdi amat kesal dengan tindakan beberapa pemimpin pembangkang yang ketagih politik dan menyalahgunakan isu Kampung Sri Makmur, Gombak demi merebut jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti.

Tegasnya, tindakan tersebut sebagai tidak bermaruah dan seharusnya dihentikan serta-merta.

Menurutnya, Hamzah Zainudin dan Azmin Ali kini sedang bergelut merebut jawatan dalam pemilihan parti yang akan berlangsung.

“Selaku Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat Parlimen Malaysia dan Dewan Negeri Selangor, YB Hamzah Zainudin dan YB Azmin Ali yang merupakan dua watak yang sentiasa diragui rakyat seeloknya lebih bertanggungjawab dalam hal melibatkan rakyat.

“Sebaliknya, mereka serta YB Hilman Idham yang terikut dengan tindak-tanduk kedua-dua idola politiknya sanggup melangkaui batas sehingga menyalahgunakan kitab suci Al-Quran sebagai bahan politik di Kampung Sri Makmur,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau menjelaskan perkara berkaitan Kampung Sri Makmur bermula sejak tahun 2006 apabila Kerajaan Negeri ketika itu telah menawarkan rumah kepada penduduk setinggan yang menduduki tanah milik Kerajaan.

Katanya, tawaran dibuat berdasarkan bancian penduduk setinggan asal yang dilaksanakan pada tahun 2006 oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bersama Pejabat Daerah dan Tanah Gombak (PDTG).

“Sebahagian besar penduduk telah menerima tawaran Kerajaan Negeri untuk pindah ke rumah kos rendah di Selayang Mulia, manakala sekumpulan lagi menolak tawaran ini dan memohon pampasan.

“Kemudian, MPS pada bulan Julai 2006 telah menjalankan operasi perobohan bagi unit-unit rumah yang telah dikosongkan.

“Pada tahun 2016, susulan kepada keputusan untuk membangunkan kawasan itu, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak telah menjalankan satu lagi proses bancian untuk mengenalpasti penduduk setinggan asal yang menduduki kawasan itu sejak tahun 2006 dan sebelumnya.

“Namun, penduduk setinggan Kampung Sri Makmur dibiarkan dalam keadaan tidak tentu akibat Menteri Besar pada tahun 2016 yang tidak dapat mencari solusi kepada isu ini. Malah, YB Hilman Idham merupakan Pegawai Khas kepada Menteri Besar pada detik itu,” katanya.

Rahim menjelaskan semasa pentadbiran baharu mengambil alih pada tahun 2018, Kerajaan Negeri memutuskan bahawa kawasan itu harus dibangunkan secara tersusun dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah mengambil langkah dengan menjual tanah ini kepada Rexpoint Resources Sdn. Bhd pada September 2020.

“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri berikhtiar bahawa penduduk asal setinggan Kampung Sri Makmur harus menikmati peluang memiliki rumah sendiri selepas menetap dalam keadaan setinggan untuk tempoh yang lama.

“Oleh yang demikian, YAB Datuk Menteri Besar telah mengarahkan supaya Majlis Perbandaran Selayang, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, serta PKNS menyemak semula senarai bancian tahun 2006 dan 2016 dan mengesahkan senarai ini supaya dapat mengenal pasti penduduk setinggal asal Kampung Sri Makmur agar dapat mengelakkan mana-mana pihak mengambil kesempatan ke atas proses ini.

“Ini yang menjadi asas yang membolehkan Kerajaan Negeri untuk menawarkan pembelian Rumah Selangorku Seri Temenggung berkeluasan 750kps dengan subsidi sebanyak RM65,000 setiap keluarga serta bayaran untuk pemindahan rumah sebanyak RM1,000 oleh pihak pemaju kepada 21 setinggan asal yang tersenarai dalam proses bancian tahun 2006 dan 2016 serta disahkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Gombak,” ujarnya.

Seterusnya, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah mengeluarkan surat tawaran Rumah Selangorku pada 21 Mei 2024 dan tawaran ini diedarkan oleh pihak pemaju kepada 21 setinggan asal yang disahkan.

A Rahim menambah bahawa syarat dan kriteria yang ditetapkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Gombak adalah keluarga setinggan yang dapat mengemukakan sebarang bukti dokumen bahawa mereka telah menetap di Kampung Sri Makmur sejak sebelum tahun 2006 dan terlibat dalam kedua-dua proses bancian tahun 2006 dan 2016.

“Malangnya, terdapat juga mereka yang telah meninggalkan kawasan itu tetapi kini menuntut supaya diberikan pampasan yang sama seperti mereka yang merupakan penduduk setinggan asal Kampung Sri Makmur.

“Selaku Setiausaha Politik, saya diarahkan oleh YAB Datuk Menteri Besar supaya bahawa sepanjang proses ini berjalan, kita harus membela penduduk setinggan asal Kampung Sri Makmur meskipun kita mengakui bahawa memindah dari perkampungan asal ke kawasan perumahan baharu bukannya satu proses yang mudah.

“Waima demikian, penyelesaian yang dicapai adalah bukti Kerajaan Negeri melaksanakan proses ini dengan amat cermat supaya sekurang-kurangnya penduduk setinggan asal Kampung Sri Makmur akan mempunyai hak kepada rumah yang dimiliki sendiri dengan harga subsidi yang tidak diperolehi komuniti lain,” katanya.

Dalam masa sama, Rahim turut menafikan dakwaan bahawa puluhan naskah-naskah kitab suci Al-Quran dimusnahkan dalam proses pengosongan Kampung Sri Makmur merupakan satu fitnah keji terhadap penjawat awam dan pegawai keselamatan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

“Saya amat kesal dengan tindakan beberapa pemimpin yang ketagih politik dan menyalahgunakan isu ini semata-mata sebagai gelanggang kempen yang ingin merebut jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti yang akhirnya tidak akan membawa manfaat kepada rakyat,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Saksikan detik mempesonakan enam planet muncul sederet di cakerawala