“Hanya kerana aku lupa basuh pinggan, mak sedara letak pisau kat leher aku sambil maki-maki…”

Keperitan hidup yang dialami seseorang mampu memberikan impak yang cukup besar sehingga diserang penyakit.

Cerita ini dikongsi oleh seseorang tentang bagaimana susah dia dan keluarga membesar akibat saudara mara yang zalim. Ikuti kisah ini dan jadikan iktibar.

Ceritera hidupku yang aku kira, tiada seorang manusia pun layak diperlakukan seperti aku dan keluargaku.

Aku mohon maaf, andai apa yang aku share ini mengusik emosi sahabat-sahabat kat sini, tapi aku rasa, andai aku luahkan, aku makin tenang.

Lama aku simpan rapi cerita-cerita ini, malah doktor psikiatri ku pun aku tak pernah ceritakan. Ye, dia ada bagi hint suruh aku luahkan segalanya, tapi mulutku seakan bisu, terkunci.

Hati aku terlalu parah untuk aku kutip dan satukan kembali demi mencari sekeping hati yang sempurna.

Tak mungkin setelah apa yang aku lalui. Cerita bermula di tahun 1996. Tahun 1996 ini tahun permulaan derita buat keluarga aku.

Mak aku sarat mengandungkan adik bongsuku dan keluarga kami di uji dengan pemergian arwah abah.

Aku darjah 4 masa tu. Sampai di wad aku hanya mampu lihat, misi perlahan-lahan menutup wajah abah buat kali terakhir.

Aku kuat, aku tak nangis. Korang tahu kenapa? Sebab aku rasa abah akan balik la tu nanti, (budak-budak kan…)

Selepas pemergian arwah abah, saudara mara abah memberitahu mak, katanya arwah abah ada berpesan supaya mak dan anak-anaknya dikembalikan ke pangkuan keluarganya. Yakni, pindah dari rumah lama kami yang dalam hutan tu.

Buat permulaan, kami terpaksa menumpang rumah atuk nenek. Di rumah atuk, kami sekeluarga ditempatkan di sebuat bilik stor kecik di belakang rumah.

Untuk pengetahuan korang, mak bukanlah menantu pilihan. Dari mula-mula kawin, keluarga abah memang tak suka mak. Entahlah aku pun tak paham kenapa tak suka mak.

Mak aku adalah manusia paling baik dalam dunia ni. Solat mengaji tak tinggal, cakap dengan orang lemah lembut, Aku tak pernah dengar mak cakap buruk pasal orang lain, tak pernah mengumpat mengata.

Karekter mak aku macam Nayang Timah dalam citer P. Ramlee, tu lah sebijik mak aku. So, bila tak suka mak tu dengan anak-anak sekali pun dorang benci lah.

Rupa-rupanya, nak sangat kami balik ke pangkuan keluarga sebab nak bolot harta abah yang sekangkang kera dalam bank tu.

Duit-duit epf, duit simpanan semua dikebasnya. Even masa malam pengebumian abah tu, aku sempat melihat saudara mara abah berebut-rebut duit yang orang sedekahkan untuk kami anak beranak.

Aku tak tahu apa-apa masa tu. Tengok dengan pandangan kosong. Sedih abah dah tak ada, manalah kami nak mengadu nasib. Bila menumpang ni, macam-macam perkara tragis berlaku dalam hidup aku.

Aku darjah 4 masa tu. Pernah aku lupa basuh pinggan, mak sedara aku yang andartu tu letak pisau kat leher aku.

Sampai berdarah-darah leher. Dia maki-maki aku, kata-kata hina tak payah ceritalah, memang makanan aku adik-beradik. Masa tu, aku sangat suka belajar.

Malam-malam aku akan study kat meja buruk, kat dalam stor kecik tu, dan makcik aku yang andartu tu datang maki-maki aku, dan tutup lampu. Dia cakap, ayah kau dah mati, sapa nak bayar bil api rumah aku ni?

Aku tabah, sebab aku nak hantar kerja sekolah esok tu, aku gigihlah pergi nyalakan lilin, sambung buat kerja sekolah, tapi makcik aku datang balik.

Dia tarik rambut aku, hempaskan muka aku ke meja, terasa kebas hidung aku, berpinar-pinar mata, terasa peritnya rambut, lilin dipadamnya.

Aku merangkak sambil menahan sakit dalam kegelapan malam, sambil dalam hati, hati aku merintih, abah…. abah…. abah…. kami rindukan abah… mana abah? , abah janji nak balik… abah… hati aku merintih, (mak tak tahu, sebab mak baru bersalin masa ni.

Mak dengan adik tidur kat bilik arwah atok solat kat depan) So, aku dengan adik-adik yang lain ajer lah tido bilik stor.

Tak cukup dengan tu, aku tak dibenarkan basuh baju pakai mesin basuh dia. Aku kena guna air perigi, tarik sendiri pakai timba, basuh baju-baju kami.

Mak baru bersalin, jadi mak tak boleh buat kerja lagi masa tu. Aku tak pernah cerita kat mak masa tu, aku hadap seorang diri. Darjah 4, aku terpaksa dewasa awal dari orang lain.

Masa bulan puasa, aku memang dari kecik tak makan daging, arwah abah memang manjakan aku.

Orang lain makan daging lembu, aku akan dibelikan ayam. Dekat umah arwah atok, semua dihidangkan daging, aku makan nasi kosong, aku curah air masak sikit buat kuah.

Aku makan sambil berlinang air mata, tiada lagi yang akan mengambil berat tentang makan aku, jadi aku terpaksa makan aje apa yang ada.

Paling tragis, nenek aku ni ade seekor kera yang suka makan asam pedas petola. Memang nenek aku ni, akan masak asam pedas petola ni kat kera dia.

Lebih-lebih dia bagi kera makan, asam pedas petola tu lah yang dia bagi kami adik-beradik makan, Allahu, (Abah… bila lah kita akan jumpa lagi?

Ni nak cerita kat abah, apa yang mereka semua buat kat anak-anak abah) Mak lagi menderita, tiap hari nenek akan minta duit dengan mak, nak beli beras seguni yang 10kg tu… tak nak beli yang murah-murah, dipaksanya mak kuarkan simpanan mak, bagi kat dorang, buat makan katanya.

Mak memang lurus, semua di baginya kat nenek. Sampaikan, pakcik aku nak kawin, nenek mintak duit kat mak aku 3k, then bagi kat pakcik aku tu, sebab nenek dah terpakai duit pakcik aku nak kawin dulu. Dia takut pakcik aku mengamuk, so dia mintak duit kat mak.

Tergamak guna duit anak-anak yatim, kau tunggulah nenek, makcik, pakcik durjana, korang takkan terlepas kat akhirat sana.

Setelah beberapa ketika, kami dibuatkan sebiji rumah berdekatan rumah atuk. Kos semua pakai duit mak yang mana ada.

Pakcik-pakcik aku yang buatkan rumah tu. Senget benget pun, kami tetap duduk, sebab dah tak ada tempat nak tuju.

Sampai sekarang kami duk umah tu. Di rumah itulah, menjadi saksi berapa banyak penderitaan mak, membesarkan kami adik-beradik.

Mak bekerja sebagai tukang sapu di sekolah, gaji mak RM450, dengan 450 itu lah mak membesarkan kami 7 beradik. Sampailah aku berjaya masuk universiti.

Tiba masa aku nak masuk universti pon, sorang pon sedara mara tak nak tolong.

Mak merayu kat pakcik aku yang kaya raya, nak pinjam duit beli tiket flight untuk aku belajar, tapi pakcik cakap tak ada duit.

Mak balik dengan tangisan, aku nekad tak nak sambung belajar, tapi ditakdirkan, masa tu aku dapat cek dari ptptn.

Cukuplah untuk aku beli tiket flight dan bayar yuran, selebihnya aku tunggu pinjaman ptptn masuk. Aku gunakan duit pinjaman tu sebaiknya.

Alhamdulillah, aku berjaya dapat segulung ijazah. Dengan gaji mak RM450, mak mampu hantar kat aku kadang-kadang 100 sebulan, kadang-kadang 50 sebulan.

Dengan jumlah duit itulah aku survive kat universiti. Membesar dalam penderitaan yang maha hebat membuatkan aku jadi seorang yang pendiam, pemarah, sombong, tak suka bergaul. Masa kat sekolah pun, aku suka bersendirian, jalan sorang-sorang.

Waktu rehat kat sekolah, aku tak keluar makan kat kantin. Duit singgit yang mak bagi, aku simpan. Hujung minggu, aku akan bagi RM5 balik kat mak, mak beli ikan, telur buat makan kami adik-beradik.

Kadang-kadang, cikgu aku hulur RM2 kat aku, dia bisik, nie amik duit ni, pergi makan ek, aku angguk-angguk, senyum, tapi aku simpan.. nak bagi mak.

Kat sekolah, aku ade seorang cikgu, dia ni kawan arwah abah. Dia memang sayang kat aku. Macam anak dia sendiri. Dia tahu semua derita aku.

Dialah banyak tolong keluarga kami. Saat mak kehabisan duit, kami terpaksa makan bihun 3, 4 hari dah makan bihun, aku tetap amanah menjaga duit cikgu.

Cikgu ni ade buat tuisyen kat sekolah. So, aku lah kerani dia, yang tukang collect duit tuisyen.

Beratus-ratus duit aku pegang, tapi satu sen tak pernah aku songlap duit cikgu. Cikgu selalu pesan, kalau nak guna dulu duit tu, guna lah, cikgu izinkan.

Tapi aku tak pernah, walaupun aku susah. Entahlah, aku punya satu prinsip hidup yang sangat-sangat mahal tak terbeli dengan harta dunia.

Sekarang, aku disahkan mengalami depression teruk. Aku agak, peristiwa hitam dalam hidup aku itulah penyumbang utama kepada sakitku ini.

Terpaksa aku bergantung pada ubat, dan berjumpa psy setiap bulan, tapi aku tetap kuat untuk teruskan kehidupan.

Satu-satunya dendamku yang tak akan padam, ialah, dendamku pada saudara maraku yang teramat kejam.

Sampai aku mati, aku tak mungkin dapat memaafkan mereka. Sekian ceritera aku, semoga menjadi iktibar pada kawan-kawan di luar sana.

Hidup kita tak lama, gunakanlah sebaiknya sisa sisa hidup yang masih ada untuk membeIa nasib mereka yang tidak bernasib baik.

Aku dulu tak bernasib baik, saat kami sangat-sangat susah, tiada siapa pun yang datang hulurkan tangan, tapi kami tetap bangun, mak tetap kuat demi anak-anak.

Baca juga: “Kau ingat gelek di khalayak tu dapat pahala ke?” Kali ini Ifa Raziah ditegur pula ustaz Pas