Hanya salah faham, pembantu peribadi Fify Azmi tidak larikan wang seperti didakwa. Nora menjelaskan berlaku salah faham terhadap isu pembayaran dari produksi dan bukannya dia melarikan wang berjumlah RM15,000 seperti didakwa.
Menurut Harian Metro, Nora tidak menafikan kecuaian itu datang daripadanya kerana tidak menyedari Skop Production sebenarnya sudah memasukkan bayaran itu ke dalam akaun bank miliknya.
Tak pernah lari seperti yang didakwa
“Saya tak pernah lari dan ada balas mesejnya tapi lambat sebab ada urusan kerja lain. Berkenaan dengan bayaran itu, sebenarnya ada salah faham dan saya pun sudah jelaskan kepada Fify.
“Saya mengaku memang kecuaian daripada pihak saya. Saya tak perasan pihak produksi sudah memasukkan bayaran Fify ke dalam akaun saya kerana biasanya semua bayaran dimasukkan ke dalam akaun Fify,” katanya.
Nora berkata, bayaran itu dimasukkan ke dalam akaunnya disebabkan pelakon itu tidak tahu bagaimana untuk mengeluarkan invois.
“Cuma kali ini saja masuk akaun saya sebab membabitkan invois. Fify tak tahu nak buat invois, jadi saya buatkan guna nama syarikat saya sebab itu produksi masukkan bayaran dalam akaun saya.
“Pihak produksi tak maklumkan saya mengenai bayaran yang sudah dimasukkan dalam akaun saya. Saya pula tak periksa akaun dan memang silap saya,” katanya.
Terkejut isu tular sedangkan sudah lakukan perbincangan
“Saya mengaku mungkin saya ada terpakai duit daripada bayaran itu sebab tak perasan. Namun, saya sudah beritahu dan jelaskan kepada Fify yang saya akan bayar secara ansuran.
“Atas persetujuan, saya hanya kena bayar RM12,000 kepada Fify. Saya ingatkan semuanya sudah dijelaskan sebab kali terakhir kami berhubung tiga hari lalu dan masing-masing terus senyap,” katanya.
Nora mendakwa dia tidak mungkin melarikan diri dan buat masalah seperti yang didakwa Fify, kerana industri seni di Malaysia ini tidaklah besar mana.
Dalam pada itu, Nora juga sudah membuat laporan polis terhadap Fify namun enggan berkongsi lebih lanjut mengenai perkara itu.
Baca Juga: RM15,000 dirembat pembantu peribadi, Fify Azmi luah rasa kecewa