Seorang lelaki warga Malaysia telah didakwa di sebuah mahkamah di Australia semalam atas tuduhan cuba menyeludup cicak hidup ke luar negara pada bulan Februari yang lalu.
Tertuduh berusia 19 tahun itu didakwa di sebuah Mahkamah Majistret di Barat Australia atas tuduhan cuba mengeksport haiwan asli yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Alam Sekitar dan Keanekaragaman Hayati 1999.
Menurut Pasukan Sempadan Australia (ABF), siasatan telah dilakukan selepas sebuah syarikat kargo udara di Perth menemui tiga cicak dalam satu penghantaran ke Malaysia, yang diisytiharkan sebagai barang mainan pada 29 Februari lalu.
Berikutan kejadian itu, ABF bersama pegawai Jabatan Pemuliharaan dan Keanekaragaman Hayati melakukan penyiasatan di kediaman suspek di Subiaco, Perth, pada Isnin yang lalu.
Pemeriksaan di rumah tersebut mendapati pelbagai haiwan liar termasuk beberapa cicak, labah-labah, dan kala jengking, bersama dengan tiga alat digital.
Pegawai ABF, Chris Waters, mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat mengenai perkara tersebut.
“Ini adalah hasil yang cemerlang yang menghalang lebih banyak hidupan liar Australia daripada dihantar ke luar negara untuk tujuan keuntungan. Tindakan ini bukan sahaja kejam tetapi juga menyebabkan banyak haiwan yang diseludup mati semasa dalam perjalanan,” katanya.
Beberapa rakyat Malaysia sebelum ini telah ditahan kerana cuba menyeludup haiwan dilindungi seperti kura-kura, labah-labah, ular, dan kala jengking ke negara lain.
Salah seorang daripadanya ialah Teo Boon Ching, yang dianggap sebagai ‘Godfather’ perdagangan haram haiwan liar antarabangsa, yang dihukum penjara selama 18 bulan di Amerika Syarikat pada bulan September yang lalu.
Teo dipercayai sebagai anggota kumpulan jenayah antarabangsa yang terlibat dalam aktiviti perdagangan dan penyeludupan secara besar-besaran, termasuk sumbu badak secara besar-besaran.
Baca: Leka ‘hisap’ dadah di pejabat polis, empat pegawai kastam diheret ke mahkamah