Orang ramai terutamanya kalangan peniaga gerai menasihatkan penggunaan meja yang betul supaya insiden malang menimpa penjual air tembikai di Bangi, Selangor baru-baru ini tidak berulang.
“Kalau nak guna meja ni jugak (meja lipat), kena buat tulang, baru tak goyang.
“Kena pakai kaki meja yang besar. Yang jenis ini tak boleh tampung berat. Angin mai tolak sekali ja dah jatuh.
“Sebab itu saya tambah besi kait kat kaki meja tu, saya takut juga kalau patah,” demikian antara pendapat warganet.
Reaksi itu susulan tular video dengan kapsyen ‘ujian Ramadan’ yang menunjukkan peniaga Sufri, 27, merenung air tembikai jualannya yang tumpah di hadapan gerainya dekat Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi.
“Saya anggap tak ada rezeki hari itu dan dugaan Ramadan, jadi reda dengan apa yang terjadi,” kata peniaga minuman dikenali Sufri.
Nasib malang Sufri menarik perhatian netizen selepas isterinya, Nor Syafiqa Amyra Sabri, 27, berkongsi luahan menerusi video di TikTok yang sehingga kini meraih lebih 684,000 tontonan.
Sufri memberitahu, insiden dalam rakaman video pada 2 Ramadan lalu berlaku jam 4.30 petang iaitu selepas dia meletak dua balang air tembikai di atas meja.
“Ikutkan meja itu sudah lama, saya pakai pun setahun sekali saja jadi kayunya reput dan membengkok kerana tak dapat tampung berat air balang hingga akhirnya jatuh.
“Saya memang tak perasan hal itu (meja sudah uzur) dan tergamam selepas lihat ia berlaku di depan mata kerana sudah penat waktu itu,” katanya, lapor Harian Metro.
Ekoran kejadian mengecewakan itu, Sufri terus mengemas peralatan niaga dan membersihkan air yang tumpah dengan bantuan isteri serta rakan niaganya.
“Nak buat balik (air) ambil masa jadi saya terus kemas apa yang patut.
“Kiranya, saya cuti sehari kerana tak dapat terusnya berniaga pada hari itu.
“Isteri ada kongsi di TikTok namun tak sangka ia boleh tular hingga ramai sokong dan ada juga yang kecam.
“Saya tak baca sangat kerana tiada akaun media sosial jadi isteri yang beritahu,” ujarnya.
Ayah tiga anak juga peniaga buah-buahan itu berkata, apa yang berlaku bukan hanya terjadi pada dirinya malah ramai peniaga lain pernah melalui pengalaman sama.
“Ini tahun kedua saya menjual minuman di bazar Ramadan dan tahun lalu di tapak dekat Seksyen 3, Bandar Baru Bangi namun okay saja, tak ada insiden macam tempoh hari.
“Tapi apa boleh buat, sudah ditakdirkan ujian buat saya pada hari berkenaan.
“Diharap perkongsian video itu beri peringatan kepada diri saya dan orang lain untuk lebih berhati-hati pada masa depan dan tunjuk kepada orang ramai kepayahan peniaga nak mencari rezeki,” tambah Sufri lagi.
BACA JUGA Bapa sanggup buka makmal perubatan nak rawat anak sakit misteri