Harga makanan IPT melonjak naik selepas mula fasa endemik

Harga makanan IPT melonjak naik selepas mula fasa endemik, Pelajar harap kerajaan beri subsidi kepada penguasaha kafe.

Menurut akhbar Utusan, sekumpulan pelajar mencadangkan agar kerajaan memberikan subsidi kepada pengusaha kafe di universiti seluruh negara susulan peningkatan mendadak harga makanan sekembalinya mahasiswa ke kampus awal bulan ini.

Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Nazmi Rahim berkata, hasil tinjauan pihaknya mendapati majoriti mahasiswa terkesan disebabkan kenaikan harga makanan.

“PKPIM berpandangan perkara ini terjadi disebabkan peningkatan harga bekalan mentah di pasaran seperti ayam, telur, minyak dan roti yang secara tidak langsung memberi kesan kepada peniaga khususnya di universiti.

“PKPIM mengesyorkan pemberian subsidi kepada pengusaha kafe di universiti supaya kenaikan harga barangan mentah tidak mempengaruhi harga makanan di universiti,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, beliau meminta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berganding dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mencari kaedah terbaik bagi mengatasi masalah kenaikan harga makanan di IPT seluruh negara.

Sebagai langkah menangani perkara itu, katanya, PKPIM akan menggerakkan edaran makanan berbuka dan kit Ramadan kepada mahasiswa yang memerlukan pada tahun ini.

“PKPIM bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan kebajikan mahasiswa terus terjaga,” katanya.

Pelajar IPT mula dibenarkan untuk pulang ke kampus bermula 1 Mac lepas bersesuaian dengan fasa endemik, pelajaran secara bersemuka bakal berlansung kelak.

 

Baca Juga: Cuma 2 bahan ini je dah boleh buat brownies tak perlu bakar, tak payah guna tepung dan telur

Baca Juga: Jumpa 17 pokok ganja dalam rumah, penyanyi nasyid ditahan polis