Harga sayur naik 30%, ini rupanya punca kenaikan…

Harga sayur naik 30%, ini rupanya punca kenaikan…

Harga sayur di seluruh negara meningkat antara 20 sehingga 30 peratus sejak bulan lalu berikutan keadaan cuaca hujan hampir setiap hari.

Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan-Persatuan Pekebun Sayur Malaysia, Chay Ee Mong, berkata bagaimanapun tidak semua jenis sayur yang mengalami kenaikan

Katanya, hanya beberapa jenis sayur yang mendapat permintaan tinggi seperti sawi, cili, lada benggala dan beberapa jenis salad yang berdepan kenaikan harga.

“Namun harga sayur tidak naik mendadak sebagai contoh hari ini harga sawi RM3 sekilogram, esok akan turun sedikit dan lusa akan naik semula menjadi RM3.

“Harga bergantung kepada permintaan. Jika permintaan semakin banyak, harga akan naik juga sedikit.

“Bagaimanapun saya yakin, keadaan jika cuaca sudah pulih, harga sayur juga akan kembali stabil semula,” katanya kepada BH.

Hari ini BH melaporkan, sekurang-kurangnya lima jenis sayur menunjukkan kenaikan dalam tinjauan yang dibuat di Pasar Kedai Payang, Terengganu.

Sayur berkenaan menunjukkan peningkatan di antara RM2 sehingga RM4 sekilogram dalam tempoh seminggu sejak 11 September lalu.

Sebelum ini cili merah dijual dengan harga RM10 sekilogram namun kini harganya mencecah RM14 sekilogram, manakala bunga kubis yang sebelum ini dijual dengan harga RM8.70 sekilogram, meningkat kepada RM10 sekilogram.

Ee Mong berkata, ketika ini permintaan sayur semakin meningkat berikutan sudah banyak pengusaha kedai makan mula membuka semula perniagaan mereka.

Selain itu katanya, faktor kekurangan sayur import ketika ini juga menyebabkan permintaan sayur tempatan semakin meningkat.

“Oleh kerana pengeluaran sayur di Malaysia tidak mencukupi bagi memenuhi permintaan, kita turut mengimport pelbagai sayur terutama dari China.

“Bagaimanapun ketika ini, China mengalami musim panas dan hanya memberi tumpuan menanam padi berbanding sayuran sekali gus menyebabkan jumlah sayur import berkurangan,” katanya.

sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/866306/harga-sesetengah-jenis-sayur-naik-hingga-30-peratus

COMMENTS