Harga sayur turun 20 peratus seluruh negara, ini sebabnya

Berita paling gembira bagi rakyat Malaysia adalah dapat kurangkan kos sara hidup. Semalam persatuan sayur seluruh negara mengumumkan penurunan harga sayur 15 sehingga 20 peratus harga di pasaran.

Memetik BH Online, Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee, berkata cuaca yang baik dan panas berterusan kebelakangan ini menyebabkan pengeluaran hasil sayuran negara kembali meningkat dengan bekalan sayuran kembali stabil sejak minggu lalu.

Beliau berkata, selain cuaca yang baik, faktor bekalan sayuran negara kembali stabil adalah susulan isu pekerja ladang yang kurang sebelum ini dapat diatasi menyebabkan pengeluaran sayur-sayuran negara, terutama di Johor, Pahang dan Perak, kembali meningkat.

“Harga borong timun yang sebelum ini pernah melonjak sehingga RM7 sekilogram (kg) berikutan hasil yang sangat kurang kini turun mendadak kepada antara RM1 dan RM1.50 setiap kg selepas pengeluaran meningkat.

“Sawi panjang yang sebelum ini harga borongnya sekitar RM2 sekilogram pula kini jatuh kepada antara RM1 hingga 50 sen.

“Begitu juga harga borong kacang panjang yang sebelum ini pernah naik mendadak kepada RM9 kg kini kembali ke harga asal iaitu RM3.50 hingga RM4 setiap kg,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Ser Kwee berkata, harga borong sayur-sayuran tanah tinggi Cameron Highlands juga semakin turun apabila kira-kira 16 jenis sayur-sayuran ditanam di sana menunjukkan penurunan sejak lebih seminggu lalu.

“Ia termasuk harga borong terung panjang Cameron Highlands yang kini hanya RM4 sekilogram berbanding RM5.50 sebelum ini manakala harga borong lada Benggala hijau pula kini hanya RM3.50 sekilogram berbanding RM5, sebelum ini.

“Kita menjangkakan bekalan sayur-sayuran akan terus stabil dengan harga sayur kembali murah sehingga menjelang musim monsun seterusnya,” katanya.

Sementara itu, peniaga pasar basah Taman Dahlia, Tampoi, di sini, Suwanto Baharuddin, 48, berkata pemborong sayuran mula menghantar sayuran pada harga lebih rendah berbanding sebelum ini sekali gus melegakan penjual runcit di pasar basah.

Katanya, pemborong mendakwa antara faktor menyebabkan harga sayur-sayuran mula turun berikutan cuaca yang lebih baik menyebabkan stok mempunyai lebihan berbanding sebelum ini yang menghadapi masalah kekurangan stok.

“Harga sayur-sayuran berdaun terutama sawi, bayam dan kangkung paling banyak penurunannya, dan kini dijual antara RM1.50 hingga RM3 sekilogram berbanding RM4.50 hingga RM5 sekilogram sebelum ini.

“Harga runcit daun salad bulat Cameron juga kini hanya antara RM3.50 hingga RM4 sekilogram berbanding RM7 sebelum ini manakala daun sup juga kini dijual runcit dengan harga antara RM3.50 hingga RM4 sekilogram, berbanding RM7 sebelum ini,” katanya.

Baca: “Letih dapat suami jenis suka provoke, sampai satu tahap aku tak dapat kawal marah aku belasah dia”