Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad dilaporkan mendapat perkenan untuk menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim petang ini.
Memetik dari Astro Awani, sumber kerajaan Negeri memaklumkan kepada Astro AWANI bahawa Hasni, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor akan memperincikan mengenai perjalanan Pilihan Raya Negeri Johor yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi.
Difahamkan majlis masuk menghadap itu akan dilakukan di Istana Bukit Serene.
Terdahulu, Hasni tiba di Bangunan UMNO Johor sekitar 2 petang untuk mempengerusikan mesyuarat khas bersama 26 Ketua Bahagian UMNO.
Difahamkan kesemua Ketua Bahagian yang berkenaan akan menyampaikan senarai calon pilihan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri di bahagian masing-masing, serta kemas kini persiapan jentera.
Selain itu dijangka mesyuarat akan turut menyentuh mengenai persiapan manifesto Barisan Nasional.
Selepas mesyuarat itu selesai, Hasni dijangka menghadap Sultan Johor, untuk mendapat perkenan, sebelum kembali ke Bangunan Johor untuk mengadakan sidang media khas.
Antara yang kelihatan ialah Naib Presiden UMNO yang juga bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, dan Ketua UMNO Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.
Hasni juga dijangka akan mempengerusikan Majlis Mesyuarat Johor yang terakhir hari ini sebelum DUN dibubarkan.
Desas-desus mengenai PRN semakin hebat susulan kematian ADUN Kempas Datuk Osman Sapian pada Disember lepas, menjadikan kerajaan pimpinan UMNO hanya memiliki satu majoriti satu kerusi dalam DUN Johor.
Pemerhati politik berpandangan UMNO dan BN merasakan mereka kembali kukuh selepas keputusan PRN Melaka menyaksikan mereka mendapat 21 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Pada masa ini, Dewan Undangan Negeri Johor diterajui Barisan Nasional dengan 28 kerusi yang merangkumi UMNO (14 kerusi), MIC (dua), Bersatu (11) dan Pas (satu) manakala Pakatan Harapan memiliki 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).