Heboh UAI tak mampu kuasai bahasa Arab, Mufti Perlis nafi kritik, ini nasihat Dr Maza kepada pelajar bidang agama

Heboh pendakwah pro Pas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) tidak mampu menguasai bahasa Arab hinggakan mengheret nama Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin.

Mohd Asri atau lebih dikenali sebagai Dr Maza berkata, beliau sama sekali tidak pernah membuat kenyataan mengkritik UIA berhubung isu berkenaan.

Reaksinya itu susulan dakwaan laman parodi ‘Harakatdaily HD’ yang dilihat mengelirukan pembaca dengan platform media rasmi Pas, Harakahdaily.

Terdahulu, tular di aplikasi X apabila seorang pemilik akaun memuat naik satu klip video ketika sesi ceramah UAI.

Menerusi rakaman itu, seorang lelaki bertanya kepada UAI dalam bahasa Arab sebelum diterjemahkan oleh individu lain yang tidak kelihatan dalam video tersebut.

Penterjemah berkenaan memberitahu kepada UAI bahawa lelaki itu ingin tahu mengenai amalan UAI sehingga mampu mengumpulkan begitu ramai orang dalam majlis ilmu tersebut.

Dalam jawapannya, UAI menggunakan bahasa Melayu, bahawa ia berlaku kerana keberkatan ibu bapa peserta-peserta ceramah yang hadir.

Jawapan tersebut kemudiannya diterjemahkan semula dalam bahasa Arab.

Ekoran rakaman video itu, sebahagian pengguna X mempertikaikan kewibawaan UAI sebagai seorang ahli agama kerana mendakwa tidak mampu menguasai bahasa Arab.

Hal ini memandangkan, UAI kerap membodohkan individu lain dalam kuliahnya yang pekat menggunakan dialek Terengganu sehingga menjadi ciri ikonik penceramah pro Pas berkenaan.

“Tak padan dengan bodohkan orang, bercakap Arab tak lulus. Ingatkan kemas sangat. Po dahh!” komen seorang ustaz dari Terengganu di media sosialnya.

Rata-rata warganet berpendapat tidak menjadi masalah jika tidak pandai bahasa Arab cuma belum layak disebut ulamak.

Perbandingannya seperti seorang guru bahasa Inggeris yang tidak tahu ‘speaking’ memang tidak layak mengajar.

Berikut ini kenyataan penuh Dr Maza pada 20 Februari 2024 yang menafikan bahawa beliau pernah mengulas video UIA yang dikatakan tidak memahami bahasa Arab itu:

Ini adalah berita yang PALSU. Saya TIDAK pernah mengulas isu UAI tidak dapat memahami dan tidak dapat berbicara Bahasa Arab itu.

Saya tidak mahu masuk campur urusan itu.

Walaupun pihak tersebut sering mencerca, itu bukan alasan untuk kita bertindak yang sama.

Urusan beliau telah kita serahkan kepada ALLAH. DIA Maha Mengetahui, DIA tidak lupa kepada sesiapa pun yang menzalimi pihak lain.

Pada saya, setiap kita ada kelebihan dan kekurangan. Kelebihan kita kurniaan ALLAH untuk kita bersyukur. Sementara kekurangan untuk kita insaf agar tidak menghina orang lain.

Secara umumnya, di sudut komunikasi sesuatu bahasa ada dua perkara penting.

Pertama, keupayaan memahami percakapan pihak lain dengan baik dan kedua keupayaan bercakap semula dengan baik.

Ramai yang dapat memahami dengan baik sesuatu bahasa tetapi tidak dapat bercakap semula dengan baik.

Biasanya sesiapa yang dapat bercakap dengan baik sesuatu bahasa, dia dapat memahaminya dengan baik.

Adapun bahasa Arab ia adalah bahasa wajib bagi ilmu-ilmu Islam.

Keupayaan memahami bahasa Arab dengan baik satu kelebihan untuk kita mendapat ilmu daripada ucapan dan pengajaran para ulama terbilang di dunia terutama di zaman internet ini.

Banyak ceramah dan pengajian mereka di media sosial yang sangat bermanfaat.

Dengan mendengar pelbagai komentar ulama di seluruh dunia, kita akan lebih terbuka dan tidak cepat menghina, mencerca atau memperbodohkan pandangan orang lain.

Ada ruangan untuk kita timbang perbezaan pendapat.

Memahami bahasa Arab itu rukun penting untuk membolehkan kita membaca rujukan-rujukan ilmu Islam ini.

Mazhab al-Syafii mazhab yang paling tegas dalam isu penguasaan bahasa Arab ini.

Jika tidak faham bahasa Arab maka sukar memahami istibat hukum hakam agama yang dirumuskan oleh para ulama.

Adapun jika kita dapati seseorang tidak berupaya menguasai bahasa Arab janganlah kita persendakan dia kerana keupayaan yang ada pada kita juga merupakan kurniaan ALLAH semata-mata.

Boleh mengkritik di sudut ilmiah tapi jangan mencerca.

Dengan kita tidak selalu menghina dan mencerca orang lain dengan ejekan dan perkataan yang buruk, mudah-mudahan ALLAH juga tidak menzahirkan kelemahan kita.

Segala yang berlaku ada hikmahnya.

Setiap cercaan orang kepada kita, kita mengadu sahaja kepada ALLAH.

DIA Maha Mendengar perkataan setiap hambaNYA dan tidak pernah lupa kepada perbuatan orang yang zalim.

Di samping itu, buat anak-anak muda yang masih belajar agama, berusahalah mempelajari bahasa Arab supaya dapat membaca, berinteraksi dan memahami agama dari sumber-sumber utama.

Sekali lagi, saya tidak terlibat dan enggan terlibat dalam mengulas video yang tersebar itu.

Mana-mana berita yang meletakkan nama saya, maka itu PALSU. Saya tidak pernah mengulas video itu secara spesifik.

BACA JUGA Gara-gara mahu ‘secure’ sewa bulanan, tuan rumah ‘reject’ ibu tunggal 3 anak -“Kami utamakan yang berkeluarga saja”