Hilang sudah hampir setahun, bekas personaliti TV3 era 90-an masih belum ditemui

Hilang sudah hampir setahun, bekas personaliti TV3 era 90-an masih belum ditemui. Kes kehilangan yang dikatakan sudah hampir setahun berlaku menimbulkan pelbagai tanda tanya, pihak polis juga baru war-warkan berkenaan hal itu.

Bekas personaliti TV3 era 90-an iaitu Zalina Shaharah Azman atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu masih tidak dapat dijumpai walaupun segala usaha mencari telah dilakukan lapor Harian Metro.

Terima laporan November 2021

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, pihaknya menerima laporan daripada keluarga Zalina, 58 berhubung kehilangannya pada 29 November tahun lalu.

Dalam laporan tersebut, anak Zalina iaitu Mikhael Norman mendakwa telah cuba mencari dan menghubungi ibunya sejak 24 November 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu (bapa Zalina) dimasukkan ke hospital namun gagal.

Menurut sumber, pada 29 November lalu, pengadu bersama bapa saudaranya telah pergi ke rumah bekas pembaca berita TV3 itu dan mereka mendapati kereta wanita itu berada di tepi rumah.

Rumah tidak tersusun, beg tangan ditemui

Pengadu mendapati keadaan di dalam rumah tidak tersusun, turut ditemui beg duit milik ibunya yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, kad kredit, kunci kereta serta wang tunai RM600.

Difahamkan, segala usaha mencari telah dilakukan namun Zalina Azman gagal ditemui.

Susulan daripada itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menyiarkan gambar Zalina serta butiran peribadi penampilan wanita itu yang berkulit hitam manis, bertubuh kecil dan kurus dengan ketinggian 158 sentimeter.

Baca Juga: Muka cantik tapi jadi pengawal keselamatan sahaja, wanita guna kecaman netizen sebagai pembakar semangat

Baca Juga: Pendapatan rendah, masalah kemiskinan punca ramai pilih kahwin bawah umur?