Himpunan #TangkapAzamBaki hari ini, Polis tutup 5 jalan utama, semua train tutup

  • Post author:
  • Post comments:0 Comments

Lima jalan sekitar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dilencongkan bermula 7 pagi tadi sebagai persediaan bagi protes jalanan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki hari ini.

Memetik dari FMT, Jalan-jalan yang terbabit adalah Jalan Bangsar, susur Jalan Bangsar Utama, Jalan Travers menuju ke Jalan Bangsar, Jalan Rakyat menuju ke Jalan Bangsar, dan Jalan Maarof menuju ke Jalan Bangsar.

“Lencongan ini akan bermula pada 7 pagi, 22 Jan sehingga selesai,” kata Ketua Polis Brickfields Amihizam Abdul Shukor dalam kenyataan awal pagi tadi.

“Selain daripada lencongan jalan, pihak pengoperasian stesen MRT, LRT, Monorail dan KTM juga akan membuat penghentian sementara pengoperasian bagi beberapa stesen utama di sekitar Kuala Lumpur seperti diumumkan dalam siaran media semalam.

“(Ini) bagi memastikan keselamatan orang ramai dan ketenteraman awam berada pada tahap yang baik serta mengawal penularan jangkitan Covid-19.”

Polis menasihati orang ramai untuk tidak menyertai sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang, serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang telah ditetapkan.

“Pihak polis tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang dikesan masih berdegil menganjurkan atau menyertai sebarang perhimpunan dan akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang Malaysia yang masih berkuatkuasa,” kata Amihizam.

Malam tadi diumumkan polis akan melakukan enam lencongan di jalan-jalan sekitar Kuala Lumpur pagi ini sebagai persediaan menghadapi protes tersebut, meliputi Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Hang Tuah, Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail.

Beberapa stesen kereta api, LRT dan MRT di kawasan berkenaan juga akan ditutup sementara.

Himpunan #TangkapAzamBaki pada asalnya dirancang diadakan di tiga lokasi, iaitu Sogo, Dataran Merdeka dan Masjid Jamek pada 11 pagi hari ini, namun susulan penutupan enam laluan yang diumumkan malam tadi, Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki menukar lokasi himpunan ke bawah jambatan LRT Bangsar, Jalan Bangsar.

Himpunan aman ini, yang disokong 33 NGO dan 11 buah organisasi politik, akan dijalankan secara aman dengan menepati SOP bagi meminimumkan penyebaran Covid-19 serta keselamatan rakyat Malaysia keseluruhannya, kata jawatankuasa tersebut.