Hujah Najib dikatakan hikayat Puteri Gunung Ledang, Pemuda Umno bidas Pas

Lantang bersuara dengan menyifatkan sokongan bersyarat BN terhadap Belanjawan 2021 yang dinyatakan oleh bekas perdana menteri Najib Razak ibarat hikayat Puteri Gunung Ledang ahli Parlimen Pas kini dibidas oleh rakan taawunnya sendiri.

Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, apa yang dilaungkan oleh Ahli Parlimen Pekan Najib Tun Razak adalah hakikat bukannya hikayat.

“Minta maaf ya sahabatku YB Pasir Mas! Ini bukan soal hikayat Puteri Gunung Ledang, ini soal hakikat rakyat yang cuba Ahli-Ahli Parlimen BN terutamanya Datuk Seri Najib Razak perjuangkan dan suarakan.

“Hakikatnya…

“Rakyat memang susah dan gelisah.

“Rakyat memang ramai hilang pekerjaan.

“Rakyat memang tak cukup wang untuk kehidupan,”tulis beliau di Facebooknya.

Asyraf berkata, apa yang diminta dan disyaratkan hanya apa yang rakyat mahukan, bukan sesukar membina jambatan untuk Sultan mahupun hidangan nyamuk untuk dijadikan alasan menolak pinangan.

Tambahnya, yang disyaratkan hanyalah untuk rakyat merasa wang mereka sendiri daripada caruman di Akaun 1 KWSP dan juga lanjutan moratorium bagi meneruskan kelangsungan hidup di tengah-tengah hambatan dan kesempitan yang begitu mencemaskan.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari berkata amat janggal untuk Najib Razak mengenakan sokongan bersyarat terhadap Belanjawa 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Jumaat lalu.

Fadhli berkata, meletakkan syarat sokongan supaya kerajaan meluluskan pengeluaran kumpulan wang simpanan pekerja (KWSP) Akaun 1 dan lanjutan automatik moratorium agak janggal kerana ia tiada keperluan dalam Belanjawan 2021 ini.

“Saya rasa ia seperti (hikayat) Puteri Gunung Ledang yang meminta Sultan Melaka membuat jambatan (emas), hidangan (hati) nyamuk sekian, sekian, namun bukan bertujuan untuk terima pinangan tetapi petanda untuk tolak pinangan itu,” katanya.

Ketika berbahas semalam, Najib berkata, sokongan BN terhadap Belanjawan 2021 kali ini adalah sokongan bersyarat, kerana, Umno masih menuntut kerajaan supaya melanjutkan moratorium selama enam bulan dan membenarkan pengeluaran one-off hingga RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP.