Hujan lebat berterusan di Narathiwat, Yala rumah penduduk hanya tinggal bumbung

Hujan lebat berterusan di Narathiwat dan Yala terjejas akibat banjir yang melanda wilayah di selatan Thailand itu.

Kira-kira 9,697 penduduk di Narathiwat dan Yala terpaksa dipindahkan ke tempat yag lebih selamat. Malah video yang dikongsi turut menunjukkan rumah tinggal bumbung.

Di Narathiwat, seramai 9,558 penduduk terjejas, manakala di Yala, seramai 139.

Sembilan daerah di Narathiwat yang terjejas ialah Waeng, Sukhirin, Chanae, Rangae, Sungai Padi, Si Sakhon, Cho Airong, Yingo dan Rueso manakala empat daerah di Yala yang terkesan akibat banjir itu ialah Thanto, Yaha, Bannang Sata dan Raman.

Sementara itu, Gabenor Narathiwat Trakul Totham melaporkan bahawa paras air di tiga sungai di Narathiwat – Sungai Golok, Sungai Sai Buri dan Bang Nara, melimpah.

“Rangae, Yingo dan Rueso di wilayah Narathiwat yang paling terjejas teruk dengan rumah dan kawasan pertanian digenangi air, jalan raya tidak dapat dilalui dan beratus-ratus penduduk terpaksa berpindah,” katanya.

Sementara itu, State Railway of Thailand mengumumkan 14 perkhidmatan kereta api ke dan dari stesen Sungai Kolok dihentikan buat sementara waktu.

“Laluan kereta api Yala-Sungai Kolok akan ditutup sehingga banjir surut dan kerja-kerja baik pulih selesai. Untuk penumpang yang terjejas oleh penutupan ini, perkhidmatan bas disediakan antara Yala dan Sungai Kolok,” tambahnya.

Perdana Menteri Srettha Thavisin berkata, beliau mengarahkan Timbalan Menteri Dalam Negeri Kriang Kantinan untuk memantau usaha yang diambil untuk menangani masalah banjir di Narathiwat dan Yala.

Beliau meminta penduduk di kawasan yang terjejas untuk mengambil langkah berjaga-jaga serta berpindah ke tempat yang selamat.

Baca juga: Ini rupanya punca restoran berputar Menara KL diarahkan tutup