Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, komposer terkenal ‘Dia’ nyanyian Fauziah Latif kini hidup gelandangan

Komposer terkenal suatu ketika dahulu namanya sering disebut dan meniti dari bibir ke bibir. Individu ini cukup dikenali sebagai pencipta lagu seperti ‘Dia’ yang dinyanyikan Fauziah Latiff.

Beliau juga mencita lagu ‘Kau dan Aku’ nyanyian Ning Baizura, ‘Kurniaan Dalam Samaran’ oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza, ‘Semalam Ku Tolak Ke Tepi’ dendangan Liza Aziz dan banyak lagi.

Namun kini, Ross Ariffin, 61, hidup di jalanan sebagai gelandangan ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ dan berpindah-randah sejak tiga tahun lalu.

“Saya tinggal di jalanan selama tiga tahun. Saya ke sana ke sini, tinggal di Pasar Seni dan juga di Melaka. Saya memang hidup gelandangan,” katanya.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, dia turut dua kali diserang angin ahmar dan kini sukar untuk berjalan dan bercakap.

Ross yang kini sukar untuk bekerja tinggal di rumah perlindungan Samaritan Hope Home, Pudu, di sini.

“Kehidupan saya bertukar 360 darjah apabila penularan COVID-19 menyebabkan saya menjadi penganggur dan kehilangan pendapatan apabila tidak dapat menghasilkan muzik,” katanya.

Ross berkata, dia bercerai dengan isterinya 10 tahun lalu dan terpaksa keluar dari rumah.

“Saya ada dua anak tetapi tidak berhubung dengan mereka. Saya tidak mahu mereka bimbang dengan keadaan saya,” katanya.

Ross berkata, dia akan kembali bekerja selepas pulih nanti.

“Saya akan menerima pekerjaan yang ditawarkan apabila sembuh nanti. Saya boleh bermain piano di hotel untuk mendapatkan wang. Saya juga boleh menulis lagu lagi,” katanya.

Menceritakan pengalamannya, Ross berkata, dia pernah menyertai orkestra di London sebagai pemain biola selain berpeluang mengembara ke pelbagai negara.

Dia juga pernah aktif sebagai pemuzik undangan atau ‘sessionist’ dan terbabit dalam banyak rakaman album artis tempatan antaranya kumpulan Search.

“Kalau boleh, saya juga nak pulang ke kampung di Melaka kerana di sana ada banyak peluang pekerjaan untuk saya,” katanya.

Sebelum ini, dia pernah bekerja melipat tuala dan cadar di sebuah hotel bajet di Jonker Walk, Melaka tanpa bayaran, sebaliknya dia dibenarkan menginap secara percuma.

Ross juga ditawarkan untuk bermain muzik setiap malam di sebuah restoran di Jalan Hang Tuah, Melaka dan pengusaha restoran itu menyediakan bilik secara percuma untuknya.

Baca juga: Tidak bersolidariti terhadap Palestin, pengikut akaun TikTok Syamimia ‘drop’ teruk!