Lumrah seorang ibu akan menyediakan makanan untuk anak-anak. Bagi anak-anak yang bersekolah atau bekerja ada yang lebih memilih membawa bekal berbanding dibeli di luar. Selain menjimatkan duit, membawa bekal juga dapat menjimatkan masa.
Pengguna X @hyunyonghae berkongsi satu hantaran yang menunjukkan bekal yang dibungkus ibunya untuk ke tempat kerja.
Yang menarik perhatian ialah picagari yang berisi kicap bersama bekal tersebut. Dia pada awalnya agak terkejut dengan kehadiran picagari itu dan setelah diselidik rupa-rupanya berisi kicap.
“Aku punya pelik kenapa ada syringe sekali dengan bekal. pastu kenapa hitam. Kicap weh rupanya. Sebabnya aku kalau makan lauk kari ke, asam pedas ke, sewaktu dengannya kena ada kicap.”
Dia lantas bertanyakan kepada ibunya akan hal itu dan perkara itu sebenarnya tidak dirancang kerana ibu tidak menjumpai sebarang plastik kecil di rumah dan tiba-tiba picagari itu terjatuh lalu idea itu spontan datang.
Perkara itu mengundang tawa warganet dan memuji idea kreatif ibunya itu.