Identiti Adun Perak ditangkap positif dadah di kelab malam akhirnya terdedah

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP dari Perak diuji positif dadah ketika serbuan ke atas sebuah kelab malam di Pulau Pinang, kata sumber kepada MalaysiaNow.

Memetik dari Malaysianow, difahamkan Adun tersebut adalah antara 48 orang penaung di sebuah kelab malam yang terletak di Perai yang ditahan ketika serbuan tersebut.

Adun DAP itu adalah seorang peguam yang berusia sekitar 50-an dan merupakan kepimpinan parti di peringkat negeri.

Beliau menduduki kerusi Dewan Undangan Negeri bagi penggal kedua selepas Pilihan Raya Umum 2018.

Dikemaskini : –

Dipetik dari Malaysiakini, Adun DAP Pasir Bedamar, Terence Naidu dibebaskan daripada tahanan selepas ditahan semalam kerana didapati positif bahan terlarang.

Peguamnya RSN Rayer mengesahkan perkara itu dengan Malaysiakini.

“Ya dia (Terence) ditahan.

“Saya hadir prosiding reman hari ini.

“Mereka (polis) meminta empat hari dan saya membantah reman itu. Mahkamah memerintahkan (untuk) dia dibebaskan,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Terence, 54, menyandang jawatan Adun selama dua penggal.

Bernama sebelum ini melaporkan seorang Adun Perak ditahan dalam serbuan polis di sebuah kelab malam di Perai, Bukit Mertajam malam tadi.

Dia kemudiannya ditahan selepas didapati positif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Seksyen itu menetapkan bahawa mana-mana orang yang mengambil atau memberikan kepada dirinya sendiri apa-apa dadah berbahaya adalah bersalah. Mereka yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Jabatan Siasatan Narkotik Polis Pulau Pinang Mustafa Kamal Gani Abdullah mengesahkan 47 yang lain turut ditahan dalam serbuan jam 9 malam itu.