Identiti dua mayat dalam MPV dikenalpasti

Identiti dua mayat dalam MPV dikenalpasti. Dua mangsa yang ditemukan di ruang parkir di sebuah kondominim di Cheras, ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata mangsa dikenali sebagai Ahmad Danish Hakeem Hanafiah dan Akmalharith Damia Zainul masing-masing berusia 19 tahun.

“Saya sahkan identiti mereka sudah dikenal pasti dan polis masih menyiasat kes berkenaan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai bagaimana kenderaan itu boleh berada di kawasan parkir berkenaan walaupun kedua-dua mereka bukan penghuni kondominium terbabit, Muhammad Idzam berkata kawasan parkir itu terbuka kepada awam.

“Mana-mana individu yang datang ke residensi (kondominium) berkenaan boleh meletakkan kenderaan di parkir itu tetapi ia lengang dan jarang digunakan walaupun sudah siap dua tahun lalu.

“Hanya kereta mangsa yang berada di lokasi berkenaan, di sudut hujung berdekatan dinding ketika ia ditemukan.

“Kereta itu dipercayai dipandu oleh seorang daripada remaja itu. Ia berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan parkir terbabit yang merakamkan MPV itu masuk ke lokasi, namun tiada pergerakan keluar masuk membabitkan kedua-dua si mati,” katanya.

Dua remaja yang dilaporkan hilang oleh keluarga masing-masing ditemukan di dalam sebuah MPV di ruang parkir bawah tanah sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

Baca Juga: Jurutera perisian ceroboh tandas wanita mengaku ada masalah Fetish

Baca Juga: Siapa si gadis manis Cikgu Frenerietta ini?