Satu insiden yang misteri di New Jersey berlaku di mana seekor ikan secara tiba-tiba jatuh dari langit dan mendarat di atas sebuah transformer (peranti ubah yang terletak di pencawang elektrik).
Alat tersebut meletup dan menyebabkan ribuan pengguna di bandar New Jersey mengalami gangguan bekalan elektrik selama beberapa jam.
Pihak berkuasa menganggap bahawa kejadian ini mungkin berpunca daripada seekor burung yang sedang terbang dengan membawa ikan pada paruhnya.
Ikan itu kemungkinan terlepas dari pegangannya secara tidak sengaja, dan terjatuh sebelum burung tersebut mendarat di atas transformer.
Kejadian itu juga dikongsi siaran di Facebook(FB).
“Terdapat kawasan yang luas di Lower Sayreville tanpa kuasa elektrik. JCP&L melaporkan seekor ikan ditemukan pada transformer.
“Ikan itu memusnahkan transformer! Bagaimana seekor ikan boleh naik ke sana? Kami mempunyai hipotesis. Kami meneka seekor burung menjatuhkannya semasa ia terbang. Bekalan elektrik terputus selama beberapa jam sementara pembaikan dibuat,” kata Jabatan Polis Sayreville di laman FB pada Sabtu.
Walaupun sentuhan haiwan sering menjadi punca utama gangguan bekalan elektrik, kejadian melibatkan ikan merupakan hal yang luar biasa, menurut jurucakap JCP&L.
Baca juga: Takut terkena alahan, wanita ini nekad ‘borong’ semua kacang dalam pesawat