Ketika gempar 2 tahun lalu dengan harga ikan siakap di sebuah restoran di Langkawi, Kedah, yang dipanggil ‘harga kayangan’ kerana melebihi RM1,000 untuk seekor ikan berat 7.48 kilogram, ramai mungkin terlepas pandang bahawa di Sarawak, terdapat spesies ikan yang jauh lebih berharga.
Empurau, juga dikenali sebagai raja ikan sungai Sarawak, mempunyai nilai komersial tinggi, dengan harga boleh mencecah RM800 hingga RM1,000 sekilogram!
Ikan eksotik ini mahal kerana ia hanya memakan buah-buahan yang tumbuh di tepi sungai seperti engkabang, memberikan rasa berlemak pada dagingnya dan mempunyai aroma harum apabila dimasak.
Ikan empurau liar, yang sering dirujuk sebagai emas Borneo, hidup di habitat sungai yang bersih, sejuk, jernih, dan berarus deras dengan dasar sungai yang berbatu, menyebabkan ikan ini akan berpindah jika habitatnya tercemar.
Seorang peniaga empurau yang ditemui, Loh Hoe Hua, mendedahkan bahawa dia biasanya memperoleh bekalan empurau dengan membeli ikan tersebut dari individu yang beruntung menangkapnya di sekitar sungai seperti Sungai Rajang, Sungai Baram, dan Sungai Baleh.
Dengan pengalaman lebih dari 10 tahun dalam penjualan ikan empurau dan spesies ikan sungai Sarawak lain seperti semah, baung, tapah, dan tengadak, dia menyatakan bahawa empurau sentiasa mendapat permintaan yang tinggi dari pengusaha restoran dan individu terkemuka yang sanggup datang dari Kuching dan Kuala Lumpur untuk membeli ikan tersebut kerana ia sukar didapati, dan kadar pembiakannya lambat membesar dan bermusim.
Loh menjelaskan bahawa biasanya ikan empurau dengan berat lebih daripada tiga atau empat kilogram dijual pada harga yang lebih tinggi kerana isi dagingnya lebih padat dan kenyal.
Dia juga memperlihatkan empurau seberat 8.2 kilogram dengan harga RM7,000 yang telah disimpan dalam keadaan beku, menunggu untuk dijual kepada seorang pembeli dari Kuching.
Selain dapat melihat Raja Sungai lebih dekat dan merasakan sendiri ikan mewah ini yang dimasak secara kukus, tidak dapat disangkal bahawa rasanya amat berbeza dengan ikan lain – kenyal, berlemak, sedikit manis, dan berbau harum – menjadikannya hidangan eksklusif.
Pada masa ini, terdapat syarikat yang sudah mula menternak dan menjalankan kajian berkaitan dengan empurau menerusi bantuan Jabatan Pertanian Sarawak, sejajar dengan matlamat kerajaan negeri untuk mengubah sektor pertanian, perikanan, dan penternakan ke arah yang lebih produktif dan moden.
Kerajaan Sarawak yang diterajui oleh Gabungan Parti Sarawak telah memperuntukkan RM265 juta bagi Dana Mudahcara Pertanian untuk membantu meningkatkan kemahiran di ketiga-tiga sektor tersebut.
Nampaknya, bagi sesiapa yang ingin mengunjungi Sarawak pada masa akan datang, jangan lupa membezakan antara ikan siakap dan ikan empurau!
baca juga:Taknak ikan melekat kat kuali bila menggoreng, boleh cuba cara ini