Ikhtiar untuk meneruskan hidup anggota bomba terpaksa makan siput dan ular sawa sepanjang 21 hari latihan ala komando.
Inilah ujian gitir yang harus dihadapi anggota bomba sebelum diserap menyertai Pasukan elit Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dikenali sebagai Multi Skill Team (MUST TEAM).
Sepanjang tempoh itu, anggota bomba terpilih didedahkan dengan pelbagai pengetahuan, kemahiran ikhtiar hidup di dalam hutan tanpa dibekalkan sebarang makanan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata mereka berjaya ‘survive’ dengan memakan apa sahaja di kawasan latihan.
“Difahamkan ular sawa dijadikan makanan, tumbuhan umbut, hidupan pinggir sungai dan bakau seperti siput demi kelangsungan hidup.
“Begitu juga air… mereka tadah air hujan untuk minuman. Jika tidak mereka cari air dari mana-mana sumber disuling dan dijadikan minuman. Ini beri kekuatan kepada mereka dari segi fizikal dan mental,” katanya dipetik Harian Metro.
Pasukan elit itu diwujudkan bertujuan melengkapkan tugasan seperti pendaratan di mana mereka menaiki pesawat dan melakukan terjunan untuk operasi menyelamat di air atau di hutan.
“Mereka adalah anggota sedia ada..tetapi untuk menyertai pasukan khas ini mereka perlu melepasi proses pemilihan yang ketat termasuk kemampuan terjun pada ketinggian 10 meter, pandai berenang dan tahan mabuk.
“Mereka yang terpilih akan ikuti latihan 21 hari ini, kemudian ada latihan pengukuhan setiap tahun dalam usaha membina keyakinan mereka selain semangat jati diri setia kawan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pentauliahan Pasukan MUST TEAM JBPM Selangor di Pantai Aceh, Pulau Indah, semalam.
Beliau berkata, sebanyak lapan siri kursus membabitkan lapan JBPM negeri iaitu Selangor, Perak, Pahang, Johor, Melaka, Sabah, Sarawak serta Penang pada tahun ini.
“Bagi Siri 1 2022 yang tamat semalam, seramai 46 bomba pelbagai pangkat termasuk dua bomba wanita dari JBPM Selangor yang ditauliahkan untuk menyertai pasukan MUST.
“Kita menganggarkan jumlah keanggotaan tujuh negeri lain (jumlah) lebih kurang (anggota) yang dipilih di Selangor.
“Jumlah keanggotaan pasukan MUST adalah 561 anggota pelbagai pangkat di seluruh Malaysia setakat ini,” katanya.
Katanya, pasukan yang diwujudkan sejak 1998 itu banyak melakar kejayaan operasi penyelamatan di dalam dan luar negara termasuk Tsunami di Acheh, kebakaran hutan di Riau juga di Filipina.
“Apa juga tugasan, baik dalam dan luar negara bomba sentiasa siap siaga dan akan memberikan komitmen penuh membantu dalam apa sahaja situasi yang dipertanggungjawabkan,” katanya.
Baca juga:
Jangan lupa, kualiti jalan raya di Malaysia antara 21 terbaik kalahkan negara luar yang lebih maju
Baca juga: