Sambutan Aidiladha 1442H masih lagi menyaksikan sebahagian besar umat Islam di negara ini terjejas dengan impak penularan pandemik Covid-19.
Ramai yang semakin menyusut bahkan terputus sumber pendapatan dan bekalan makanan selain kehilangan insan tersayang dengan 7,148 nyawa menjadi korban Covid-19.
Hal inilah sedang menyelubungi suasana Hari Raya Korban tahun ini ditambah dengan larangan rentas negeri bagi mengekang jangkitan wabak di luar kawalan.
Pagi ini, Imam Masjid Negara, Tuan Haji Ehsan Mohd Hosni kedengaran sebak pada minit-minit terakhir ketika membacakan Khutbah Solat Sunat Aidiladha.
Perasaan khatib berkenaan dapat dikesan ketika beliau menasihatkan pemimpin bersimpati terhadap rakyat agar tidak terus bertelagah.
“Khatib juga menasihatkan kepada pemimpin dan rakyat agar menumpukan segala usaha dan tindakan dalam mengekang penularan Covid-19.
“Hentikanlah perbalahan yang sia-sia. Bersimpatilah terhadap rakyat dan janganlah kerana ketamakan itu menyebabkan rakyat pula menjadi mangsa.
“Bagaimana Allah mahu memperkenankan doa kita semua dan menurunkan rahmat-Nya… (terhenti sebentar)… selagimana kita masih lagi bergelumang dengan dosa dan kemaksiatan serta perpecahan,” katanya lagi.
Setakat semalam, Malaysia mencatatkan sebanyak 927,533 kes Covid-19 dengan Lembah Klang terutama Selangor paling teruk terjejas.
Sebanyak 326,823 kes Covid-19 direkodkan di Selangor dengan jumlah kematian tertinggi berbanding negeri lain tetapi kadar vaksinasi yang amat rendah.
Sehingga 17 Julai lalu, hanya 30.4 peratus iaitu 1,987,129 penduduk di Selangor mendapat vaksinasi dos pertama walaupun pendaftaran untuk suntikan pelalian tinggi mencecah 96.7 peratus.
Peratusan vaksinasi dos pertama tersebut jauh lebih rendah bagi negeri yang mempunyai sebanyak 6.7 juta penduduk itu berbanding negeri dan wilayah lain.
Kuala Lumpur mencatatkan rekod 95.6 peratus populasi sudah menerima vaksin dos pertama diikuti Putrajaya (63.6 peratus), Labuan (59.2 peratus), Negeri Sembilan (36.9 peratus) dan Perlis 34.7 peratus.
sumber : https://malaysiadateline.com/khatib-masjid-negara-sebak-ingatkan-pemimpin-henti-berbalah-bersimpati-terhadap-rakyat/