India di tangga pertama pekerja paling berpura-pura sibuk, nasib baik Malaysia tidak tersenarai

Kajian mendapati pekerja di Asia sering menghabiskan masa dengan berpura pura sibuk dan tidak melakukan tugas hakiki lapor saluran berita CNBC News.

Penemuan ini diperoleh melalui tinjauan global yang dilakukan oleh syarikat perisian Slack dan firma penyelidikan Qualtrics. Mereka telah mengkaji data daripada lebih daripada 18,000 pekerja, termasuk golongan eksekutif.

Hasil kajian menunjukkan bahawa banyak pekerja menghabiskan banyak waktu dalam mesyuarat, di mana unit-unit berbagai bahagian melakukan pembentangan untuk berkongsi pencapaian mereka.

“Lebih banyak pembentangan pencapaian dilakukan berbanding membuat keputusan atau menangani isu,” kata penganalisis teknologi Slack untuk Asia-Pasifik, Derek Laney.

Menurut tinjauan tersebut, India menduduki kedudukan pertama dalam jumlah pekerja yang bersikap demikian, iaitu 43 peratus.

Ini diikuti oleh Jepun (37 peratus), Singapura (36 peratus), Perancis (31 peratus), Britain (30 peratus), Australia (29 peratus), dan Jerman (29 peratus).

Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan juga mencatatkan peratusan yang sama, iaitu 28 peratus.

Laney menyatakan bahawa salah satu faktor yang menyebabkan pekerja berpura-pura sibuk adalah kerana para ketua dalam organisasi sering menilai produktiviti berdasarkan apa yang mereka lihat berlaku di pejabat.

“Ketua kebiasaannya menilai produktiviti pekerja berdasarkan aktiviti mereka di pejabat yang kelihatan sibuk berbanding memberi tumpuan kepada hasil kerja.

“Ia membawa kepada pekerjaan yang sia-sia kerana pekerja mahu menonjolkan seolah-olah mereka sibuk bekerja, hanya di hadapan ketua ,” ujarnya. 

Baca juga: Kedekut duit buku anak, isteri bakar suami sedang tidur