Kumpulan pelancong dari Malaysia menjadi mangsa kemarahan seekor zirafah di Safari Kanchanaburi, Thailand baru-baru ini.
Melalui perkongsian Instagram @ojennaiwahhh_, beliau bersama tiga rakan lain pergi ke Safari Kanchanaburi dengan tujuan menangkap gambar bersama zirafah dan zebra. Hanya safari di Kanchanaburi yang mempunyai dua haiwan liar tersebut.
Ojen mengakui bahawa dia tidak menjangka percutiannya akan berubah menjadi tragedi.
“Dua daripada rakan travel ojen terkena dilenyek oleh zirafah. Zuhairi berjaya mengelak tetapi tersadung kaki. Malangnya, Syafiq tidak berjaya mengelak dan terkena dilenyek,” tulis kandungan di Instagram @ojennaiwahhh_.
Menurut Ojen, ada sesuatu yang membangkitkan kemarahan zirafah tersebut sehingga ia melanggar dan melenyek semua orang yang berada di sekeliling.
Ojen sendiri terselamat kerana berada di atas kereta ketika kejadian itu berlaku, sambil merakam gambar dan video bersama kedua haiwan liar tersebut.
Selepas kejadian, semua mangsa dibawa ke hospital kerajaan dan kemudiannya dipindahkan ke hospital swasta tempatan.
Pihak Safari Thailand memberitahu Ojen bahawa ini merupakan kejadian pertama kali seekor zirafah mengamuk di situ.
Ojen juga memberikan beberapa cadangan kepada pemilik safari untuk mengelakkan kejadian serupa berulang di masa hadapan.
Antaranya ialah meletakkan seorang pekerja untuk mengambil gambar supaya pelancong tidak terlalu dekat dengan haiwan, memasang pagar untuk memisahkan antara manusia dengan haiwan, serta menyediakan kelengkapan pertolongan cemas untuk kegunaan segera sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
Seorang rakan Ojen, Ashhry Atan, juga menyatakan bahawa sekiranya pada masa itu Syafiq tidak membawa telefon di dalam poketnya, kecederaannya mungkin lebih teruk.
Ini kerana telefon iPhone 13 yang terdapat di dalam poketnya rosak teruk akibat dilenyek seperti kenderaan berat. Sungguh menakjubkan kuasa pukulan seekor zirafah yang kelihatan jinak.
Syafiq kemudiannya mendapat ganti rugi berupa iPhone 15 Pro Max daripada pemilik safari sebagai pampasan atas kehilangan tersebut.
Baca: Leka ‘hisap’ dadah di pejabat polis, empat pegawai kastam diheret ke mahkamah