Kehadiran jenazah seorang wanita yang dibungkus oleh plastik telah menimbulkan satu tanda tanya di kalangan penduduk di sebuah kampung.
Perasaan ingin tahu kian membuak-buak apabila jasad yang tidak bernyawa itu telah diuruskan oleh pihak hospital dan dihantar ke masjid hanya untuk disolatkan.
Malah, para penduduk kampung yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir juga langsung tidak dibenarkan untuk melihat wajah jenazah sebelum dikebumikan.
Namun kisah di sebalik kematian wanita bernama Ayu yang terkenal dengan sifat pemurah itu mula terbongkar setelah beberapa tahun dia meninggal.
Berikut perkongsian jiran kepada Ayu yang mendapat pengajaran terbesar di dalam hidupnya menerusi kisah kematian wanita berusia 28 tahun itu.
“Kak Ayu orangnya sangat baik. Dia anak tunggal dan bekerja sebagai operator kilang. Kak Ayu tinggal bersama ibunya, bapanya sudah meninggal. Zaman dahulu kalau kerja kilang, ada van datang ambil. Setiap kali Kak Ayu tunggu van, dia akan lintas dekat rumah saya, tempat kami budak-budak bermain.
“Asal nampak kami sahaja, dia mesti akan ajak semua pergi kedai runcit Ah Chuan belikan kami makanan ringan. Kak Ayu akan suruh kanak-kanak ambil apa sahaja yang kami mahu. Semua dia bayar. Kak Ayu suka bersedekah, suka budak-budak. Orangnya lemah lembut dan rajin menolong orang. Semua orang selesa dengan dia.
“Satu hari mak Kak Ayu datang rumah. Rupanya nak jemput kenduri kahwin Kak Ayu. Berseronoklah kami mengusik Kak Ayu setiap kali terserempak dengan dia. Kak Ayu hanya senyum-senyum malu. Zaman dahulu bila ada majlis, satu kampung gotong-royong. Masak beramai-ramai, termasuklah di kenduri Kak Ayu.
“Kenduri dia sangat meriah masa itu, sampai ke malam ada makan-makan. Sampai macam itu sekali orang kampung meraikan hari bahagia Kak Ayu. Petang majlis lepas bersanding, Kak Ayu dan suami dia hulur duit dekat kami (kanak-kanak). Bersuka rialah kami. Seronok tauke Ah Chuan tengok kami kenduri besar dekat kedai dia.
“Tetapi itulah, orang selalu cakap yang langit tak selalunya cerah. Manusia tak akan berhenti menerima ujian selagi belum mati. Masih segar dalam ingatan saya, malam itu dalam pukul 9. Kecoh tiba-tiba dalam kampung katanya suami Kak Ayu meninggal dunia dalam kemalangan. Kemalangan itu sangat ngeri.
Motosikal suami Kak Ayu menghentam belakang treler. Besi dalam treler menembus ke mata lelaki itu. Suami dia meninggal on the spot. Tetapi yang lagi sedihnya, Kak Ayu baru saja berkahwin dalam tiga ke empat bulan. Orang kata inai pun masih merah, tetapi sudah hilang suami. Tak tahu macam mana perasaan dia ketika itu.
“Satu kampung berduka dengan berita kematian itu, dekat berminggu-minggu juga orang bercakap. Saya terkenang sekarang pun rasa sedih sangat. Tetapi sejak suami dia meninggal, kami tak jumpa Kak Ayu dah. Tak ingat kemana dia pergi, mungkin ke rumah mak mertua dia. Kemudian dapat tahu yang katanya Kak Ayu mengandung.
“Tahu selepas suami dia meninggal. Sedih betul rasa. Kami ada jumpa dia dalam kampung walaupun sangat jarang. Tetapi Kak Ayu macam sudah tidak bekerja sebab tak nampak dia tunggu van di jalan besar. Dia pun dah bersalin masa itu. Dapat anak perempuan. Masa Kak Ayu berpantang, saya dan mak ada pergi tengok baby.
“Dia layan macam biasa cuma tak peramah macam dulu. Hari berganti hari, orang pun sudah lupa cerita pasal Kak Ayu. Sebab lepas habis pantang, dia pun berpindah. Cuma mak dia masih ada di sini. Tetapi saya langsung tak pernah jumpa Kak Ayu lagi di kampung selepas itu walaupun pada hari raya.
“Tidak lama selepas itu, kami terima khabar yang katanya Kak Ayu meninggal. Masa itu umur dia 28 tahun sahaja. Kami tak tahu dia sakit apa. Yang kami dengar, dia meninggal selepas solat zohor atas sejadah. Jenazah dia dibawa balik dikebumi di sini. Baru saya tahu sebelum ini Kak Ayu tinggal di dekat kampung suami dia.
“Masa jenazah sampai, semua pihak hospital sudah uruskan kecuali solat jenazah sahaja yang dibuat di masjid. Selepas itu, terus dikebumikan. Orang kampung tak dapat bantu apa-apa. Masa itu saya Tingkatan Tiga. Cuma mak saya yang pergi tengok jenazah Kak Ayu. Mak kata jenazah dia dibungkus dengan plastik.
“Tiada satu orang pun yang boleh tengok muka Kak Ayu. Selepas itu tersebar dalam kampung katanya Kak Ayu kena penyakit berjangkit AIDS atau HIV. Mak Kak Ayu ada bercerita dengan nenek aku. Katanya dia pergi buat rawatan di hospital kerajaan. Selepas itu selalu sakit. Demam batuk tak kebah-kebah, semakin kurus dan pucat.
“Bila pergi pemeriksaan baru tahu rupanya ada kesilapan dari pihak hospital yang membuatkan Kak Ayu terkena jangkitan tu. Mujur orang kampung kami sangat memahami. Lagipun arwah Kak Ayu sangat baik. Semua orang doa baik-baik sahaja untuk dia. Mak Kak Ayu kata, dia selalu ulang satu kata-kata sejak jatuh sakit.
“Sampai sekarang saya ingat. Katanya, apa yang kita ada semua Allah punya. Diri kita pun Allah punya. Jadi terpulanglah apa yang Allah nak bagi kat kita, apa yang Allah nak ambil dari kita. Kita tak mampu halang, kena terima walau suka atau tidak, Rasa sedih dan sebak bila teringat arwah Kak Ayu.
“Orang yang baik tak henti-henti ujian Allah bagi. Anak dia pun tak tahu apa cerita sekarang. Mesti dah besar panjang sekarang ini. Kak Ayu meninggal sudah hampir 25 tahun lalu. Al fatihah untuk Kak Ayu. Semoga arwah tenang di sana,” tulis Mawar menerusi satu perkongsian di laman luahan atas talian.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku pada tahun 90-an dan Mawar terpanggil untuk menceritakannya semula selepas menonton telefilem Matahari Tak Bercahaya.
Berdasarkan kisah benar, telefilem terbitan TV3 itu menceritakan kisah Mastura yang dijangkiti HIV akibat kecuaian hospital selepas terlibat dalam pemindahan darah.
“Saya teringat arwah Kak Ayu (bukan nama sebenar) yang dijangkiti virus sama akibat kecuaian pihak hospital juga. Akhir kata, teringat satu dialog dalam telefilem itu, ‘kita ini orang miskin, orang miskin tak banyak pilihan. Apa yang datang itulah yang kita terima’.
“Ayat ini tiada kaitan dengan sesiapapun. Sekadar setuju dengan keadaan sekarang, bahawa orang miskin memang tak banyak pilihan.” Tulis Mawar mengakhiri tulisannya.
Baca juga: Tunku Ismail derma rumput hibrid, warganet risau lagi rancak konsert