Ingat lagi iklan ‘Tan Hong Ming Dilamun Cinta’ yang nyata telah meninggalkan impak yang besar kepada dunia pengiklanan.
Pasti ramai yang masih mengingati iklan kemerdekaan popular dengan penuh makna tersirat antaranya iklan kempen kemerdekaan ke-50 yang mengisi slot iklan Petronas pada tahun 2007.
Walau iklan tersebut hanya berdurasi 33 saat, hasil sentuhan Yasmin Ahmad ini membuatkan seluruh rakyat Malaysia tersentuh hati dan tersenyum melihat aksi kecomelan dua teraju utamanya, Tang Hong Ming dan juga Ummi Khazriena.
Selepas 16 tahun, kini mereka berdua disatu dan dipertemukan kembali menerusi iklan Merdeka yang diterbitkan oleh pengeluar jersi sukan dan gaya hidup terkemuka yang berpengkalan di Pulau Pinang, Lokalteez dan Teamwear.
Di dalam video tersebut, jelas kelihatan keterujaan Ummi Khazriena dan Tan Hong Ming yang dipertemukan semula selepas terputus hubungan.
Walaupun timbul sedikit kejanggalan berikutan sudah lama tidak bertentang mata, namun kedua-duanya masih lagi erat dan akrab seperti dahulu.
Ummi yang kini bertugas sebagai seorang eksekutif dan Tan Hong Ming pula baru saja menamatkan pengajian dalam bidang psikologi dari Sunway University sempat mengimbas kenangan bekerja di bawah arahan pengarah tersohor, Yasmin Ahmad.
Baca juga: Ramai terkejut Ustaz Don suruh dengar lagu ColdPlay, “Kalau boleh dengar lagu Fix You..”