Ingatkan batu biasa rupanya kubur lama ratusan tahun bersambung dengan dinding rumah

Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan sebuah kubur lama yang terletak bersambung dengan sebuah rumah di lorong sempit, lapor laman berita Suara kelmarin.

Menurut laporan, kubur dipercayai berusia ratusan tahun itu bersambung dengan dinding sebuah rumah yang terletak di Bandung, wilayah Jawa Barat.

Berdasarkan gambar yang dikongsikan, kubur itu tertulis nama si mati iaitu Iboe Idjah, namun butiran mengenai tarikh kematian tidak disertakan.

“Kubur lama berusia ratusan tahun bersambung dengan rumah penduduk di lorong sempit di Kota Bandung,” demikian menurut keterangan pada video yang dimuat naik.

Tidak dijelaskan punca kubur itu tidak dipindahkan meskipun kawasan sekeliling dipenuhi rumah penduduk kampung.

Tiada kubur lain yang berada berdekatan pusara tersebut.

Hantaran itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen netizen.

“Pemilik rumah ini tidak ‘diganggukah’ pada waktu malam?” soal seorang netizen.

“Itu kubur sebenarkah? Selama saya melalui kawasan itu saya menyangkakan ia batu biasa,” kata pengguna lain.

Baca juga: ‘Sedarlah wahai Israel, sedangkan duit syiling ini lebih tua daripada kamu’