Seorang wanita di Amerika Syarikat (AS) telah membuat tuntutan undang-undang terhadap rangkaian restoran setelah menemui sepotong jari manusia dalam hidangannya.
Allison Cozzi dari Connecticut menemui sepotong jari tersebut semasa makan di salah satu lokasi rangkaian restoran Chopt di Mount Kisco, New York pada 7 April lalu.
“Dia terkunyah sepotong jari manusia yang dicampur ke dalam salad,” demikian menurut tuntutan mahkamah.
Tuntutan tersebut menjelaskan bahawa pengurus restoran cawangan tersebut mengalami kecederaan di mana jari telunjuk kirinya terpotong semasa menggunakan pisau untuk memotong arugula.
Tuntutan saman itu juga mendakwa bahawa potongan jari tersebut telah dimasukkan ke dalam hidangan salad dan disajikan kepada pelanggan, termasuk Cozzi.
Cozzi didakwa mengalami kesan sampingan termasuk gangguan kognitif, pening, loya, serangan panik, terkejut, migrain serta ketidakselesaan leher dan bahu selepas kejadian itu.
Menurut rekod Jabatan Kesihatan Daerah Westchester, premis tersebut telah dikenakan denda sebanyak AS$900 (RM4,182) selepas kejadian itu.