Ini antara sebab kenapa perlu bawa duit cash ke Thailand, boleh dihalau balik kalau salah langkah

Pelancong luar disarankan untuk membawa sejumlah wang tunai sekurang-kurangnya RM1,992 ketika melancong ke Thailand, seperti yang dilaporkan oleh The Thaiger.

Kedutaan Indonesia di Bangkok, melalui Dewi Lestari dalam sebuah wawancara eksklusif dengan rangkaian Indonesia RRI telah mengumumkan perkara tersebut.

Dalam penjelasannya, beliau menyatakan bahawa peraturan ini terpakai kepada semua pelancong tanpa mengira kewarganegaraan, di mana mereka dikehendaki untuk menunjukkan bukti kewangan sebagai langkah pencegahan untuk mengelakkan risiko tidak dibenarkan masuk.

“Ramai rakyat Indonesia mengadu kerana dilarang masuk ke sempadan, mendorong kedutaan kami mengeluarkan peringatan penting ini,” katanya berhubung syarat ketat kemasukan ke Thailand.

Menurut senarai semak dari kedutaan, para pelancong perlu menyediakan keperluan termasuk pasport yang sah, tiket perjalanan pulang pergi, dan bukti tempahan penginapan di hotel.

Selain itu, pelancong juga perlu menunjukkan bukti kemampuan kewangan semasa berada di Thailand dengan membawa jumlah wang yang mencukupi.

Menurut laporan World of Buzz, mengikut Bab 2, Seksyen 12, Akta Imigresen Thailand 1979, pelancong yang tidak memenuhi kriteria tertentu berisiko ditolak masuk, terutamanya jika mereka gagal membuktikan kewangan yang mencukupi.

“Walaupun dalam undang-undang tidak menyatakan jumlah tetap, namun berdasarkan data pengembara perlu membawa sekurang-kurangnya 15,000 baht (RM1,992) untuk yang melancong secara berseorangan.

“Manakala 20,000 baht (RM2,659) bagi berkumpulan atau berkeluarga,” katanya

Baca juga: Alat sulit jejas peluang ke pentas akhir sukan Olimpik, ada pihak cuba beri RM1.169 juta jika atlet lakukan ini