Umum mengetahui syarikat pelaburan kewangan dari Amerika Syarikat ini dikatakan telah melabur sejak dari dahulu ke atas syarikat-syarikat besar di negara ini.
BlackRock diasaskan pada tahun 1988 oleh seorang bilionaire berpengaruh bernama Larry Fink dan firma itu beroperasi secara global dengan memiliki 70 pejabat di 30 negara serta pelanggan di 100 buah negara.
Namun pada hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua agar tidak keterlaluan dalam membahaskan isu Blackrock.
Walaupun syarikat pelaburan gergasi itu sudah menapak di negara ini dengan begitu lama, beliau menjelaskan ia tidak menjejaskan pendirian Malaysia yang telah bersama Palestin sejak sekian lama.
“Dalam sejarah dan ketimbang dengan negara lain, kita (Malaysia) antara paling jelas dan keras, jangan tuntut lebih dari itu. Kita ini negara berkembang, tengok tahap keupayaan kita, jangan kerana nafsu serakah nak tunjuk hebat, kita rosakkan kepentingan negara, itu prinsip secara umumnya.
“..dan kezaliman Israel ke atas Palestin adalah sangat jelas, tiada siapa yang pertikai. (Tapi) Kalau ada syarikat Microsoft ke, Google ke tunjuk simpati pada Israel kita memang tentang, (namun) apakah saudara fikir kita harus tutup semua laluan dan kerjasama dengan mereka?” katanya.
Laporan terdahulu menunjukkan bahawa semakan data mendapati BlackRock memiliki kepentingan dan pegangan saham dalam syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia sebanyak RM24.7 bilion, serta pegangan dalam bon kerajaan dan korporat Malaysia bernilai RM7.9 bilion.
Pada 2018, Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak institusi pelaburan itu masuk ke negara ini dan pada 2021, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula meluluskan cadangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menyerahkan kepada Blackrock untuk menguruskan dana khas KWSP RM600 juta.
Baca juga: Rupanya Blackrock dan GIP adalah dua syarikat berbeza, sebab itu PMX..