Ini cara Indonesia bertegas haramkan kapal Israel lalu ruang udaranya

Berita mengenai pencerobohan sebuah pesawat pengintip jenis Boeing 747-400 milik Israel Aeroaspace Industries – Elta Electronic Industries (IAI-Elta) di ruang udara Malaysia sebelum mendarat di Singapura baru-baru ini telah mengundang persoalan dan meresahkan jiwa rakyat di negara kita.

Berikutan itu, pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dalam satu kenyataan semalam memaklumkan penerbangan pesawat tersebut disahkan sudah mendapat kelulusan daripada pihak penerbangan Malaysia.

“Berpandukan peraturan-peraturan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), Malaysia sebagai sebahagian negara anggotanya akan meluluskan mana-mana penerbangan selagi pesawat tersebut tidak mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

“Kami menegaskan bahawa pesawat tersebut hanya diberikan laluan sahaja dan tidak dibenarkan mendarat atau berlegar-legar di ruang udara negara,” kata Kementerian Pengangkutan memetik laporan Utusan Malaysia.

Kementerian Pengangkutan turut memberitahu bahawa tiada corak penerbangan yang tidak normal dilaporkan semasa pesawat tersebut melalui ruang udara Malaysia.

Untuk pengetahuan anda, pesawat penerbangan antarabangsa El Al milik Israel biasanya akan melakukan corak penerbangan yang tidak normal sekiranya mereka membawa presiden Israel, Benjamin Netanyahu yang mengadakan lawatan ke Singapura dan Australia.

Mengapakah corak penerbangan ini dikatakan tidak normal? Biasa kita dengar, tempoh penerbangan dari Singapura ke Sydney hanya memakan masa lebih kurang 7 jam sahaja. Tetapi tidak bagi Netanyahu yang terpaksa mengambil masa lebih 11 jam sekiranya dia dari Singapura untuk sampai ke Sydney.

Mengapa 11 jam? Ini kerana dari Singapura, Netanyahu terpaksa pula terbang ke lapangan terbang Palau di Filipina sebelum mendarat di Australia, memetik laporan halaman The Washington Post.


Flight-Route

Ini berikutan Indonesia sebagai negara Islam yang tidak pernah mengiktirafkan penerbangan pesawat EI AI untuk menggunakan akses lapangan terbang di negara itu dan secara keras-kerasnya melarang pesawat tersebut menggunakan laluan udara negara Indonesia untuk ke Australia.

Malah, Indonesia seperti negara Islam yang lain juga menolak jalinan hubungan diplomatik bersama Israel ekoran isu penjajahan Zionis terhadap Palestin yang tidak berkesudahan. Oleh itu, Indonesia telah mengetatkan segala akses ruang udaranya daripada dicerobohi penerbangan pesawat Israel.

Bukan sahaja di Indonesia, bahkan Netanyahu juga terpaksa melalui pelbagai corak laluan penerbangan yang tidak normal semasa dalam perjalanan dari Tel Aviv menuju Singapura demi mengelakkan pesawat yang dinaikinya menceroboh ruang udara negara Arab Saudi atau di negara-negara Islam yang lain.

Difahamkan idea laluan penerbangan yang tidak normal ini tercetus setelah Netanyahu memujuk dan berharap kepada Indonesia supaya menjadi sebahagian daripada sekutu Israel melalui kerjasama diplomatik dengan Jakarta.

Masih belum berjaya memujuk Indonesia dan pada tahun 2012, Israel memujuk dengan perancangan untuk mewujudkan pejabat kedutaan konsulat Indonesia di kota Ramallah di Tebing Barat bagi menjalinkan hubungan diplomatik bersama Indonesia.

Pada tahun 2016, Netanyahu sekali lagi memujuk Indonesia namun, presiden Joko Widodo mengatakan hubungan politik antara Israel dan Indonesia akan terlaksana sekiranya rakyat Palestin dibebaskan dan memerdekakan semula negara mereka.

Sepertinya Netanyahu tidak bersetuju dengan cadangan itu dan sehingga kini dia terpaksa melalui perjalanan yang sukar serta jauh sekiranya dia ingin melawat Singapura dan Australia. Begitulah cara Indonesia mengawal keselamatan laluan udara negara mereka daripada direntasi pesawat Israel.

sumber : https://www.thevocket.com/ini-cara-indonesia-sekat-laluan-udara-daripada-direntasi-pesawat-pembawa-benjamin-netanyahu/