Ini cara simpan cili dalam peti sejuk supaya tahan lama, tapi ada bahan ‘rahsia’ yang perlu ada sekali dengan cili bagi mengelakkan cili jadi lembek dan busuk.
Kalau kita hendak memasak bahan yang perlu ada adalah cili yang sudah disediakan dan perlu ambil sahaja di dalam peti, tapi alangkah terkejutnya cili itu busuk.
Maka, terpaksa anda ‘menapak’ ke kedai semula semata-mata untuk membeli satu barang sahaja. Sudah tentu, usaha tersebut terasa sangatlah tidak berbaloi.
Siapa yang pernah menghadapi situasi di atas? Mesti mood nak memasak yang tengah memuncak tiba-tiba hilang begitu sahaja, kan?
Umum mengetahui, banyak juadah tempatan memerlukan penggunaan cili. Jadi, cili merupakan salah satu bahan masakan ‘wajib ada’ dalam setiap peti sejuk orang Malaysia.
Alasannya mudah sahaja, rata-rata rakyat Malaysia gemar menjamah makanan pedas. Kurangnya rasa pedas bermakna kurang rasa ‘kick’ dalam sesuatu juadah yang disediakan.
Seorang pengguna TikTok, Awang Dapur (@awangdapur) bakal menyelamatkan kehidupan anda sebagai pencinta makanan pedas.
Pengguna berkenaan telah berkongsi tips bagaimana mahu menyimpan cili di dalam peti sejuk agar tahan lebih lama.
Menurut Awang Dapur, pertama kali anda harus membuang tangkai cili padi yang ingin disimpan. Pastikan, tiada langsung sisa tangkai pada cili-cili tersebut.
Jika masih ada sisa tangkai, tekstur cili yang disimpan di dalam peti sejuk menggelebeh, lembik dan seterusnya rosak.
Kemudian, basuh cili-cili tersebut dan keringkannya. Pastikan cili-cili anda betul-betul kering, tanpa ada kesan titisan air atau permukaan lembap.
Seterusnya, ambil bekas yang kering dan letak tisu sebagai alas. Masukkan cili-cili anda ke dalam bekas berkenaan, tidak kiralah sama ada cili besar ataupun cili padi sekali pun.
Akhir sekali, sebelum menutup bekas tersebut, letak satu bahan rahsia bersama iaitu, bawang putih. Bawang putih dipercayai dapat memastikan cili bertahan lebih lama, khususnya ketika ia disimpan di dalam peti sejuk.