“Ini dewan yang mulia, bukan sangkar beruk”, kata Sultan Johor kepada Adun Johor

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) agar tidak mencemarkan kemuliaan Dewan dengan perangai buruk masing-masing.

Baginda bertitah, Dewan Negeri adalah tempat untuk berbincang dan membuat ketetapan bagi kepentingan rakyat serta negeri Johor.

“Jangan cemarkan Dewan saya ini dengan perangai yang buruk. Ini adalah dewan yang mulia bukannya dewan sangkar beruk.

“Ingat pesanan saya Tuan Speaker.

“Jalankan kerja baik-baik dan suka juga saya ingatkan, yang saya tidak akan melayan permainan politik mana-mana wakil rakyat yang terus bertelagah sampai menganggu-gugat negeri dan kerajaan saya,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut bertitah menasihatkan semua ADUN supaya menggunakan sesi persidangan kali ini untuk berbincang dan menyusun pelan tindakan bagi menolong rakyat dan membangunkan semula ekonomi Johor.

“Ahli-Ahli Dewan tidak perlu berbahas atau membawa usul yang tidak berkenaan. Awak semua jangan pentingkan diri sendiri.

“Rakyat di luar sana tengah susah, ada yang kelaparan, ada yang hilang pekerjaan dan ada juga yang sedang bertarung nyawa akibat wabak COVID-19.

“Ini bukannya masa untuk berbalah, tetapi ini adalah masa untuk bersatu dan bekerjasama. Jangan tanya kepada orang lain apa yang telah dibuat untuk bantu rakyat, tetapi lihatlah cermin muka sendiri,” tambah baginda lagi.

Titah baginda, jika berlaku keadaan yang menjatuhkan kerajaannya sekarang, baginda tidak akan teragak-agak untuk membubarkan kerajaan Johor.

“Saya rasa tidak perlu ada wakil rakyat jika masing-masing hanya fikirkan tentang kedudukan sendiri, bukannya kepentingan rakyat.

“Apabila wabak COVID-19 telah terkawal, saya akan serahkan kepada rakyat untuk memilih Ahli Dewan yang baharu.
“Selepas ini pilihlah betul-betul pemimpin yang jujur dan ikhlas mahu berkhidmat untuk rakyat,” titah Sultan.

sumber : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/jangan-cemar-dewan-saya-dengan-perangai-buruk-sultan-johor-313613