Tiada kelibat kenderaan keluar dan masuk pintu utama Istana Negara, setakat jam 12 tengah hari tadi.
Tinjauan BH turut mendapati beberapa penghadang ditempatkan di depan pintu yang ditutup itu.
Keadaan di pekarangan pintu utama lengang tanpa kehadiran anggota polis yang kebiasaannya akan terbabit penugasan kawalan keselamatan jika terdapat orang kenamaan dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Bagaimanapun, terdapat beberapa pengamal media yang hadir bagi merakam gambar dan membuat laporan ringkas mengenai situasi semasa di Istana Negara.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat kerana baginda belum memperkenankannya.
Bagaimanapun, menurut Pejabat Perdana Menteri semua tindakan dilaksanakan kerajaan membabitkan pembatalan Ordinan Darurat dan pelaksanaan sidang khas Dewan Rakyat, teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.
Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan sudah menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri sebanyak dua kali kepada Yang di-Pertuan Agong supaya semua Ordinan Darurat dibatalkan, dan memohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda mengenainya.
sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/845162/tiada-kenderaan-keluar-masuk-pintu-utama-istana-negara