“Ini ikhtiar akhir saya” – Bapa dua anak nekad kayuh basikal sejauh 200KM jumpa PM Anwar hanya sebab ini

Seorang bapa tekad untuk berbasikal 200KM semata-mata hanya untuk berjumpa dengan Perdana Menteri Malaysia. Ini adalah hanya untuk memastikan kewarganegaraan dua anaknya dapat diselesaikan.

Memetik Kosmo, Muhammad Hafiz Onn, 34, berkata, langkah itu adalah ikhtiar terakhirnya dan isteri, Ina Abirin, 26, bagi menukar status kewarganegaraan dua anak lelaki mereka yang kini masing-masing berusia enam dan empat tahun.

“Anak sulung di sekolah tadika, mereka semakin membesar dan akan bersekolah nanti, kami risau akan masa depan.

“Saya bertekad mengayuh basikal bersama dua anak ke Putrajaya untuk berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Kami berharap usaha ini mendapat perhatian dan ihsan pemimpin negara untuk membantu kami sekeluarga mendapatkan status warganegara anak kami,” katanya kelmarin seperti dipetik Kosmo.

Jelasnya, dia berkahwin de­ngan Ina yang juga anak pela­rian dari Filipina pada Januari 2014.

Memetik Kosmo lagi, “Kami ‘nikah kampung’. Setelah berkahwin, saya berulang-alik ke Sabah menguruskan dokumen isteri, namun buntu sebelum kami pulang ke Semenanjung,” tambahnya,

Ujarnya, pelbagai usaha dilakukannya termasuk ke Jabatan Imigresen serta meminta bantuan daripada pemimpin tempatan, namun semuanya tidak berhasil selain berdepan dengan kekangan kewangan.

“Anak saya ada surat beranak tetapi status kewarganegaraan bukan warganegara. Jadi saya merayu pihak kerajaan agar membantu saya dalam hal ini.

“Kalau boleh saya mahu isteri dapat status penduduk tetap dan kewarganegaraan pula untuk dua anak saya,” ujarnya.

Baca; Pilih cara hidup mengemis, pengemis ini memiliki kekayaan cecah RM4.2 juta selain pendapatan bulanan RM4,239.52