Ini jawapan Tok Mat selepas Zahid buat kenyataan medianya semalam

Apabila keadaan negara yang semakin meleset, UMNO wajar tampil dengan satu pendirian.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan UMNO tidak pernah diasaskan demi kepentingan lain kecuali memperjuangkan bangsa, Melayu dan Rakyat Malaysia.

Ini termasuk memuliakan Islam, memelihara kehormatan Institusi Diraja dan membangun negara.

“Pendirian ini akan terus menjadi pendirian UMNO, sebagai parti politik, kejelasan sebuah pendirian sangat penting dan tanpa pendirian, UMNO jadi hanya sebuah parti terdaftar bukan sebuah perjuangan.

“Pendirian UMNO mesti berpaksikan aspirasi rakyat, demi rakyat dan untuk rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, pada Khamis.

Terdahulu, Mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi memutuskan parti itu menarik balik sokongan kepada kepemimpinan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin berkuat kuasa serta merta.

Selaras keputusan itu, UMNO menuntut supaya Muhyiddin meletak jawatan untuk memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik COVID-19 dan bantuan kepada rakyat.

MKT UMNO turut menegaskan sebarang usaha untuk mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri akan ditolak sepenuhnya oleh parti itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid, berkata penolakan itu termasuklah kerjasama parti itu dengan DAP.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Adun Rantau berkata, UMNO tidak boleh menjadi sebahagian daripada kemelesetan yang berlaku.

“Bila sistem kesihatan semakin parah, ekonomi merudum dan memburuk, kemiskinan meningkat, mereka yang membunuh diri semakin banyak, kelaparan telah menjadi nyata, bendera putih, hitam dan segala warna telah dikibarkan, demokrasi diselewengkan, malah institusi Raja di sanggah dengan tiada susila, UMNO tidak boleh menjadi sebahagian dari kemelesetan ini.

“UMNO mesti senafas dengan kesusahan rakyat, bukan kuasa dan kedudukan dan fitrah UMNO adalah parti untuk orang kebanyakan serta biasa-biasa, maka untuk merekalah UMNO harus bersuara dan berjuang.

“Kepada semua ahli UMNO, walau dipelusuk desa dan perbatasan nan terpencil, atau di pulau paling jauh, mahupun di kota dan bandar seluruh negara, yakinlah, pendirian kepimpinan UMNO tidak akan tergelincir dari keutamaan rakyat, negara dan parti,” katanya.

Tambah Mohamad, pendirian kepimpinan UMNO selari dengan keputusan perwakilan perhimpunan Agung UMNO 2020.

“Tiada individu lebih besar dari UMNO, tiada tokoh lebih penting dari parti dan rakyat, tiada kuasa lebih besar dari kuasa rakyat, tiada perjuangan lebih bererti dari perjuangan untuk rakyat yang marhain dan yang terjejas.

“Insya-Allah, UMNO telah ada sebuah pendirian dan jalan ke hadapan.

“Semoga jalan dan pendirian yang direncanakan ini adalah sebaiknya jalan dan pendirian untuk rakyat, tanah air dan parti kita UMNO.

“Kepada ahli dan rakyat, UMNO sandarkan masa depannya, insya-Allah,” ujarnya.

sumber : https://www.astroawani.com/berita-politik/negara-makin-meleset-umno-wajar-tampil-dengan-satu-pendirian-tok-mat-307288