Sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial satu video seorang pemuda yang meluahkan kekecewaannya berhubung penetapan syarat terbaru di masjid-masjid dan surau-surau sekitar Selangor yang membenarkan jemaah dengan dos penggalak sahaja untuk menunaikan solat Jumaat.
Pemuda tersebut berkata, dia kecewa apabila solat Jumaat yang dilakukan hanya seminggu sekali pun masih memerlukan syarat ketat untuk menunaikan solat Jumaat.
Menerusi video berdurasi 3:06 itu, dia menyatakan bahawa dia tidak faham mengapa dos penggalak diwajibkan sedangkan tempat yang biasa menjadi tumpuan orang ramai tidak pula diletakkan syarat yang sama.
“Dalam seminggu, bukan hari-hari kita buat solat Jumaat. Seminggu sekali tu je kita berkumpul ramai-ramai dalam rumah Allah dan kita buat solat Jumaat. Tak lama pun tapi saya tak faham kenapa tak ada dos penggalak tak boleh masuk.
“Saya tak faham kenapa nak target masjid juga. Saya tak salahkan mana-mana ajk masjid, imam, tok bilal dan sekjuriti masjid. Ia memang salah seratus peratus orang yang keluarkan arahan ini,” luahnya.
Video yang dikongsikan netizen itu mendapat tanda suka lebih 12,000 orang dengan lebih 17,000 perkongsian.
Sementara itu menurut pemuda tersebut, dia terkilan apabila turut menyaksikan seorang budak sekolah yang bersemangat membawa sejadah, terpaksa pulang dengan hampa apabila tidak dibenarkan solat Jumaat kerana tiada dos penggalak.
Dia juga menyatakan sepatutnya pihak berkuasa memberi kelonggaran memudahkan segala urusan ibadah umat Islam kerana negara juga dipimpin oleh pemimpin Islam.
“Sekurang-kurangnya dalam darah muda kami masih ada keinginan tunaikan kewajiban, permudahkanlah. Jangan sampai satu hari nanti, generasi akan datang, muda-muda tak tahu solat Jumaat ni wajib rupanya. kalau boleh permudahkanlah urusan ibadah,” rayunya.