Istana Negara sekali lagi menjadi tumpuan petugas media yang mula berada di pekarangan pintu masuk seawal jam 7 pagi Rabu.
Biarpun belum dapat dipastikan apa yang akan berlaku, namun media tidak mahu terlepas merakamkan segala kemungkinan.
Ia susulan pengumuman dibuat oleh UMNO semalam yang memutuskan untuk menarik balik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional dan menuntut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.
Bagaimanapun, setakat jam 9 pagi ini, belum lagi kelihatan sebarang pergerakan di sini membabitkan orang kenamaan atau ahli politik.
Semalam, Majlis Kerja Tertinggi UMNO memutuskan untuk berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, dan tidak akan mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa kerajaan pimpinan Muhyiddin gagal di mata rakyat dan keputusan itu selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.
Jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, Muhyiddin mesti mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran Kerajaan pimpinan beliau terhadap Agong dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat.
sumber : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/istana-negara-sekali-lagi-jadi-tumpuan-media-312140