Ini kisah korban pokok tumbang, rupanya ada pesanan terakhir kurang 7 jam sebelum menghembuskan nafas terakhir

Kurang 7 jam sebelum menghembuskan nafas terakhir, Allahyarham Md. Rizal Atan, 47, rupanya ada menyampaikan pesanan terakhir buat anaknya.

“Pada pagi hari kejadian, ayah berpesan kepada saya supaya menjaga ibu sekiranya dia sudah tiada lagi (meninggal dunia),” kata Muhammad Irfan Farish yang merupakan anak kedua Allahyarham.

Remaja berusia 16 tahun itu berkata, dia tidak menyangka kata-kata itu menjadi pesanan terakhir arwah bapanya supaya menjaga ibunya, Norpahidah Mat Zaman, 43.

Irfan berkata, arwah yang maut selepas dihempap pokok besar di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur semalam begitu rapat dengan semua anaknya terutama adik ketiganya dan bongsu.

“Kalau dia balik lewat sekali pun, dia (arwah bapa) akan sentiasa mencari masa untuk berbual dengan saya dan adik-beradik lain.

“Selepas ini, kami akan merindui jenaka arwah ayah kerana dia memang periang dan suka membuat lawak,” katanya.

Muhammad Irfan ditemui pada majlis pengebumian arwah bapanya di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di Shah Alam semalam.

Jenazah arwah Md. Rizal selamat dikebumikan pada pukul 2.30 petang dan dihadiri oleh ahli keluarga, kenalan dan majikannya.

Bercerita lanjut, Muhammad Irfan berkata, dia sekeluarga dimaklumkan tentang kejadian itu oleh pihak berkuasa pada pukul 6 petang kira-kira empat jam selepas insiden tersebut itu.

“Apabila mendengar berita itu, hati ini luluh, namun kami sekeluarga kuatkan semangat menerima berita sedih ini.

“Kami sekeluarga bergegas ke Hospital Kuala Lumpur selepas pihak berkuasa memaklumkan jenazah arwah ayah dibawa ke sana bagi proses bedah siasat,” ujarnya.

Sehubungan itu, Irfan berkata, dia akan belajar bersungguh-sungguh seterusnya bekerja bagi menyara keluarga.

Allahyarham Md. Rizal maut selepas sebatang pokok besar berusia lebih 50 tahun menghempap kereta jenis Mercedes-Benz yang dipandunya di Jalan Sultan Ismail.

Difahamkan, semasa kejadian, mangsa yang bekerja sebagai pemandu peribadi dalam perjalanan menjemput seorang tetamu di sebuah hotel di ibu negara.

BACA JUGA Tak sangka harga minyak patutnya RM3.50 tapi sekarang RM2.05, ‘orang kuat’ PMO perjelas pentingnya subsidi bersasar