Ini kuasa Muhyiddin sebagai Perdana Menteri “caretaker” yang perlu anda tahu…

Kuasa dan peranan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sementara hanya terhad kepada meneruskan dasar sedia ada sahaja.

Penganalisis politik dan undang-undang berpendapat, peranan Perdana Menteri sementara diperlukan untuk melancarkan jentera kerajaan, namun tidak boleh melaksanakan dasar baharu atau meluluskan peruntukan tambahan.

Bagaimanapun, mereka berpandangan tiada tempoh khusus yang menghadkan khidmat Muhyiddin selaku Perdana Menteri sementara, dan beliau boleh memegang jawatan itu selama mana proses pemilihan Perdana Menteri baharu berjalan.

Penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed, berkata Muhyiddin selaku Perdana Menteri sementara bertanggungjawab melancarkan urusan harian pentadbiran, khususnya membabitkan dasar yang sudah diluluskan oleh Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, Muhyiddin tidak boleh meluluskan dasar baharu atau perbelanjaan tambahan, sebaliknya perlu memastikan apa yang sudah diputuskan sebelum ini, khususnya membabitkan langkah keselamatan awam, vaksinasi dan program kebajikan rakyat terus berjalan lancar.

Malah, katanya, Muhyiddin boleh memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik sejumlah jemaah menteri jika dirasakan perlu, khususnya, untuk membantunya menguruskan pandemik, namun ia terpulang kepada budi bicara baginda.

“Tempoh Perdana Menteri sementara tiada dalam Perlembagaan. Selalunya, amalan pelantikan sementara ini berlaku apabila Parlimen dibubarkan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) sehinggalah kerajaan baharu dilantik selepas PRU.

“Peranan Muhyiddin sekarang sama seperti Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilantik sebagai Perdana Menteri interim tahun lalu, dan bidang kuasanya terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Peranan Perdana Menteri sementara penting kerana dalam sistem kita, penjawat awam diketuai Ketua Setiausaha Negara hanya pelaksana, dan perlu ada ketua yang mengarahkan penjawat awam menjalankan tugas.

“Sekiranya Muhyiddin merasakan perlu bantuan anggota Kabinet, mungkin kerana tempoh pemilihan Perdana Menteri terlalu lama atau beban pengurusan pandemik agak berat, beliau boleh mohon pelantikan sejumlah menteri kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa serta-merta.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata susulan peletakan jawatan itu, Seri Paduka turut berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga seorang Perdana Menteri baharu dilantik.

Pakar undang-undang dan Perlembagaan, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata perlu ada sekurang-kurangnya seorang menteri atau Perdana Menteri menjalankan tugas secara sementara bagi membolehkan kelancaran fungsi jentera kerajaan dalam tempoh peralihan kuasa.

Katanya, kebanyakan pelaksanaan undang-undang di negara ini memerlukan kelulusan seorang menteri atau Perdana Menteri, namun ia terhad kepada pelaksanaan dasar yang sudah diputuskan sebelum ini.

“Situasi pandemik masih serius ketika ini, di samping Malaysia turut berdepan masalah ekonomi serta keperluan memastikan program vaksinasi terus berjalan lancar.

“Apabila kerajaan terbubar, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang Perdana Menteri sementara untuk menjalankan fungsi eksekutif,” katanya.

Bagaimanapun, Nik Ahmad Kamal menegaskan surat pelantikan Muhyiddin perlu menerangkan secara jelas peranan dan bidang kuasanya sebagai Perdana Menteri sementara, termasuk sama ada beliau boleh melantik jemaah menteri.

Katanya, surat pelantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim tahun lalu tidak menjelaskan kuasanya, manakala Peguam Negara ketika itu memaklumkan Perdana Menteri interim memiliki semua bidang kuasa Perdana Menteri.

“Persoalannya, adakah itu kuasa sebenar Perdana Menteri sementara? Surat pelantikan itu perlu jelas, kerana yang pasti peranannya hanya untuk memastikan jentera kerajaan berjalan lancar.

“Perdana Menteri interim juga perlu memberi tumpuan penuh pada isu semasa berkait urusan kerajaan dan tidak boleh lagi memberi fokus pada isu politik sepanjang menjalankan tugas,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan, Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah, berpandangan Muhyiddin perlu memberi fokus mengurus dan menjalan dasar digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) sepanjang menjadi Perdana Menteri sementara.

Katanya, Muhyiddin perlu mengekalkan momentum program vaksinasi yang mencatat kadar pemberian vaksin harian antara tertinggi di dunia, sebelum kerajaan baharu ditubuhkan.

“Beliau boleh teruskan urus tadbir berdasarkan dasar sedia ada. Perdana Menteri sementara hanya jaga kerajaan sebelum Perdana Menteri tetap dilantik.

“Tiada tempoh masa khusus bagi Perdana Menteri sementara. Kalau lantikan Perdana Menteri baharu mengambil masa lama, maka lamalah juga Muhyiddin boleh menjadi Perdana Menteri sementara,” katanya.

sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/852089/kuasa-pm-sementara-terhad-uruskan-dasar-sedia-ada