Ini perkembangan terbaru kes Ebit Lew… – Polis

Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah menutup kes membabitkan siasatan berhubung kes gangguan seksual melibatkan pendakwah popular, Ustaz Ebit Lew seperti didakwa sesetengah pihak.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, sehingga kini tiada maklumat terbaru diterima pihaknya bagi membantu siasatan.

“Kita tidak pernah tutup kes ini dan tidak ada rujukan untuk tiada tindakan lanjut (NFA).

“Sebaliknya kes masih dalam siasatan dan pihak polis mengalu-alukan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 1 Oktober lalu, Ebit Lew sekali lagi dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi diambil keterangan.

Pendakwah berusia 37 tahun itu hadir bersama isterinya untuk disoal siasat Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), JSJ Bukit Aman.

Sebelum ini, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew telah dipanggil untuk merakam keterangan percakapannya di Bukit Aman pada Ogos lalu.

Siasatan membabitkan Ebit dijalankan di bawah tiga seksyen iaitu Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.- UTUSAN